News & Articles Avaland lancar pelan hala tuju pembangunan lestari

Avaland lancar pelan hala tuju pembangunan lestari


7 Sep 2023
Avaland lancar pelan hala tuju pembangunan lestari
SUBANG JAYA: Syarikat pemaju hartanah, Avaland Bhd (Avaland) melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian bagi mengukuhkan komitmennya dalam menyepadukan ciri mampan dan mesra alam.

Ketua Pegawai Operasi Avaland, Aw Sei Cheh, berkata langkah kumpulan itu juga kelak akan memberi manfaat kepada pelanggan dalam semua projeknya.

Beliau berkata, kumpulan komited untuk mengutamakan kelestarian dalam semua tawaran bagi memenuhi misi mewujudkan komuniti dan meningkatkan kehidupan untuk generasi akan datang.

Katanya, pendekatan terbaharu kumpulan itu bakal membantu memastikan penciptaan nilai ekonomi, alam sekitar dan sosial yang berkekalan untuk semua pihak berkepentingan.

"Dipacu oleh rangka kerja kemampanan teguh syarikat induk Avaland, Ayala Land Inc (Ayala Land), Pelan Hala Tuju Kelestarian Avaland dibangunkan selaras dengan produk merentas pelbagai segmen kumpulan.

"Produk manual penyeragaman akan menggabungkan ciri-ciri mampan dalam semua projek dan memberi tumpuan kepada empat bidang tumpuan kemampanan utama iaitu Ketahanan Tapak, Kecekapan Sumber, Mobiliti Rakyat & Kesalinghubungan dan Pembangunan Ekonomi Tempatan," katanya selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Avaland di sini, hari ini.

Sei Cheh berkata, tumpuan kepada empat bidang utama itu adalah berdasarkan keyakinan kukuh bahawa inisiatif seperti itu akan memberi kesan yang berkekalan kepada alam sekitar dan komuniti.

Beliau berkata, Avaland juga memanfaatkan kepakaran Ayala Land yang sudah lama menjadi juara dalam perkembangan amalan lestari.

"Pelan hala tuju ini adalah langkah pertama kami dalam pembangunan lestari dan terbabit dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Sei Cheh berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan masa depan yang lebih lestari dan inklusif, Avaland sedang mereka bentuk perbandaran moden yang menggunakan amalan buruh beretika dengan menggabungkan bahan hijau dan teknologi cekap tenaga.

Beliau berkata, sebagai contoh, semua unit dalam pembangunan Aetas Damansara disertakan lobi lif persendirian yang bercahaya semula jadi.

Ruang legar projek itu juga, katanya dilengkapi dengan 'breezeway' untuk pengudaraan semula jadi.

"Ciri-ciri cekap tenaga itu membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek Alira Subang Jaya menggunakan air hujan kitar semula untuk pengairan landskap yang menjimatkan penggunaan air dan kos penyelenggaraan.

"Malah semua projek Avaland menggunakan mekanisme penghawa dingin yang cekap, peralatan dan kelengkapan sanitari yang cekap air dan simen hijau," katanya.

Sei Cheh menambah, inisiatif hijau Avaland dalam projeknya juga disahkan GreenRE Malaysia, agensi pensijilan bangunan hijau oleh Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan (REHDA).

"Berpandukan Pelan Hala Tuju Kelestarian, kami gembira menerima Pensijilan GreenRE untuk enam projek dalam hanya enam bulan.

"Projek hartanah Aetas Damansara dianugerahkan pensijilan platinum), Alora Residences (Emas), Amika Residences (Emas), Alira Subang Jaya (Perak), Sanderling (Gangsa) dan Casa Embun (Gangsa).

"Avaland adalah pemaju hartanah pertama yang mencapai matlamat itu dalam tempoh masa singkat," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia