Belanjawan 2024 penuhi matlamat rumah mampu milik
PETALING JAYA: Belanjawan 2024 mengandungi langkah-langkah membantu rakyat memiliki rumah sendiri, sekali gus meningkatkan ekonomi dan taraf hidup.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, peruntukan bagi sektor hartanah dan perumahan telah dibentangkan seperti yang diharapkan.
“Peruntukan khusus untuk perumahan termasuk RM2.47 bilion untuk pembinaan projek perumahan rakyat, 4.0 peratus duti setem kadar rata ke atas Memorandum Pemindahan (MOT) oleh bukan warganegara dan syarikat milik asing bersedia untuk memupuk landskap perumahan yang lebih saksama.
“Selain itu, sebanyak RM23.37 bilion untuk memulihkan projek sakit merangkumi kira-kira 28,000 kediaman, RM2.47 bilion untuk projek perumahan awam, RM1 bilion untuk memulihkan projek terbengkalai yang dikenal pasti, RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan.
“RM1 bilion lagi untuk mengekalkan projek perumahan rakyat (PPR), membina rumah mampu milik, menyelenggara perumahan dan menambah baik infrastruktur perumahan, membaiki hartanah untuk individu luar bandar yang kurang bernasib baik,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pembaharuan duti setem pindah milik hartanah akan mewujudkan struktur yang dipermudahkan mungkin tidak memberi kesan besar kepada pasaran tetapi ia menjadikan urus niaga kurang tertekan dan rumit, yang baik untuk semua orang.
Dalam pada itu, katanya, infrastruktur baharu sentiasa memberi impak yang besar terhadap nilai hartanah kerana ia membolehkan aktiviti ekonomi baharu berkembang maju di lokasi yang tidak mungkin mereka miliki sebelum ini.
“Belanjawan 2024 berjanji untuk membiayai beberapa projek yang akan memberi kesan positif jangka panjang ke atas harga hartanah.
“Ini termasuk Pautan RTS dengan Singapura, yang analisis kami menunjukkan mungkin meningkatkan bilangan penduduk rentas sempadan di Johor sebanyak 50,000 menjelang 2030.
“Projek lain yang akan menaikkan harga hartanah dan mengubah corak penggunaan ialah Lebuh Raya Central Spine dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Datuk NK Tong pula berkata, pelbagai peruntukan untuk B40 dalam Belanjawan 2024 menunjukkan usaha kerajaan yang terangkum dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah.
Katanya, ini termasuk peruntukkan RM546 juta untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) di Johor dan RM358 juta untuk pembangunan 3,500 unit kediaman di bawah 14 Program Rumah Mesra Rakyat.
Beliau juga menyambut baik peruntukkan RM460 juta kepada golongan yang sangat kurang berkemampuan di kawasan luar bandar untuk membina atau membaiki kediaman mereka.
“Peningkatan Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga RM10 bilion untuk memanfaatkan 40,000 peminjam juga merupakan berita yang amat dialu-alukan.
“Perkara ini diharapkan dapat membantu meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan pekerja ekonomi gig dan mereka yang tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan,” jelasnya.
Selain itu, Rehda juga mengalu-alukan pengumuman untuk melonggarkan keperluan bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
“Walau bagaimanapun, kami melahirkan kebimbangan mengenai rancangan untuk memperkenalkan kadar rata empat peratus untuk duti setem ke atas memorandum pemindahan ke atas pembelian oleh individu dan syarikat asing.
“Perkara ini mungkin tidak menggalakkan pemilikan rumah dan MM2H kepada mereka yang ingin berhijrah ke Malaysia pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN
Source: utusan.com.my