News & Articles Rumah berharga bawah RM500,000 semakin berkurangan

Rumah berharga bawah RM500,000 semakin berkurangan


1 Nov 2023
Rumah berharga bawah RM500,000 semakin berkurangan
KUALA LUMPUR: Pasaran mungkin berdepan kekurangan rumah dalam lingkungan harga RM500,000 dan ke bawah mulai tahun depan kerana bahagian pasaran kediaman baharu yang dibangunkan dalam julat harga sedemikian semakin mengecil.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata rumah mampu milik terjual lebih pantas berbanding rumah berharga lebih tinggi, dengan kediaman RM500,000 dan ke bawah merangkumi hampir 80 peratus daripada semua pembelian pada separuh pertama tahun ini.

Beliau berkata, pada 2022 rumah yang lebih mampu milik dalam lingkungan harga sedemikian merangkumi 71.1 peratus daripada hartanah kediaman yang baru dilancarkan.

"Namun, pada separuh pertama tahun ini, bahagian pasarannya merosot lebih daripada 13 mata peratusan kepada hanya 58 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kashid berkata harga rumah di negara berkembang pada kadar mampan yang lebih rendah berbanding tahap sebelum COVID-19.

Beliau berkata, pada separuh pertama 2023, harga rumah meningkat 4.8 peratus, lebih tinggi berbanding 3.9 peratus pada suku sebelumnya.

Katanya, kadar yang lebih kukuh itu bagaimanapun masih di bawah purata jangka panjang 5.3 peratus antara tahun 2015 hingga 2019.

"Kami merasakan pertumbuhan harga akan berterusan sehingga 2024. Kami melihat tiga faktor yang memacu permintaan ini.

"Pembeli rumah mempunyai lebih banyak wang dan mungkin mempunyai pekerjaan yang bagus. Pembeli juga mahu mengambil peluang daripada pengecualian duti setem menerusi inisiatif pemilikan rumah.

"Kewangan isi rumah kukuh, hutang isi rumah terurus dan gaji sektor swasta meningkat sebanyak 4.1 peratus, yang meningkatkan pendapatan isi rumah. Pasaran pekerjaan turut meningkat, yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah dan keyakinan untuk membeli rumah. Jumlah penduduk yang mempunyai pekerjaan meningkat lebih daripada 208,000 pada suku kedua saja," katanya.

Kashif berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan membantu lebih ramai orang mampu membeli rumah sendiri, sekali gus menjadi kunci kepada keselamatan ekonomi.

"Namun, pada 2024, seandainya Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus mengekalkan rejim kadar faedah 'lebih tinggi dan lebih lama', BNM akan berada di bawah lebih banyak tekanan untuk menaikkan kadar faedah dan membendung kejatuhan ringgit.

Sementara itu, Kashif berkata jumlah rumah siap tidak terjual mula berkurangan pada 2024 dan terus mengecil pada separuh pertama 2023, selepas mencatatkan kemuncak 183,900 unit pada 2021.

Beliau berkata, menjelang suku kedua tahun ini, jumlahnya berkurangan kepada hanya 141,900 unit dan trend penurunan itu berterusan.

Katanya, situasi bagi kediaman tinggi berharga mahal yang tidak terjual adalah yang paling bertambah baik.

"Jumlah rumah tidak terjual kini 12 peratus lebih rendah berbanding 2019 dan 23 peratus di bawah paras kemuncak 2021. Ini satu kelegaan besar kepada industri perumahan. Ia membantu menstabilkan harga dan menjadikan trend harga lebih mudah diramal," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline