News & Articles Sime Darby Property berdepan tekanan kenaikan kos

Sime Darby Property berdepan tekanan kenaikan kos


27 Nov 2023
Sime Darby Property berdepan tekanan kenaikan kos
KUALA LUMPUR: Industri hartanah dijangka terus berdepan cabaran berikutan kelemahan ringgit serta lonjakan harga bahan mentah global.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Bhd, Datuk Azmir Merican, berkata selain ringgit dan harga bahan mentah, industri juga tidak boleh meramal keadaan pasaran pada masa akan datang.

Beliau berkata, cabaran itu juga turut memberikan tekanan kepada margin keuntungan syarikat hartanah termasuk Sime Darby Property.

Katanya, turun naik harga bahan mentah disebabkan nilai mata wang menyebabkan banyak kontraktor utama ketika ini lebih berhati-hati.

"Kita dapat melihat harga simen, bahan utama dalam pembinaan meningkat tahun ini. Ia menjadikan industri kini dalam situasi tekanan kos yang melonjak.

"Tekanan lain adalah sebagai pemaju hartanah, kita ingin jual produk hartanah pada harga yang tepat dan memastikan jualan itu juga berjaya.

"Namun, kami merasakan pasaran industri akan terus berkembang seiring dengan lonjakan ekonomi negara.

Sime Darby Property kekal optimis mampu menyerap cabaran ini kerana 2024 dijangka akan menjadi tahun yang lebih baik," katanya selepas taklimat prestasi kewangan suku ketiga 2023 Sime Darby Property, hari ini.

Azmir berkata, bagi 2023, memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan mencatatkan pertumbuhan empat peratus, kumpulan secara positif menjangkakan bahawa prospek pasaran hartanah akan meningkat sejajar dengan ekonomi, selain disokong oleh permintaan domestik.

Beliau berkata, kedudukan kewangan Sime Darby Property yang kekal kukuh dengan rizab simpanan tunai sebanyak RM661.9 juta dan nisbah hutang bersih pada kadar 27.4 peratus pada 30 September 2023, jelas menunjukkan kesediaan kumpulan untuk meneroka potensi pembangunan masa depan.

"Kami telah menyediakan beberapa produk yang menarik di beberapa perbandaran untuk dilancarkan pada suku keempat 2023 dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM791.2 juta.

"Dengan momentum kukuh yang telah dibina sehingga kini, kami yakin akan keupayaan untuk mencapai sasaran kewangan dan operasi tahun ini," katanya.

Azmir berkata, Sime Darby Property merekodkan lonjakan pendapatan sebanyak 35.8 peratus kepada RM2.4 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023.

Beliau berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) pada tempoh dikaji juga naik 36.4 peratus kepada RM440.7 juta dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) melonjak 30.1 peratus kepada RM276.7 juta.

Kumpulan juga, katanya merekodkan jualan sebanyak RM2.5 bilion sepanjang tempoh dikaji dan berada pada landasan yang tepat untuk melepasi sasaran jualan 2023 iaitu sebanyak RM2.7 bilion.

Pada suku ketiga 2023, pendapatan kumpulan katanya naik 52.4 peratus kepada RM1 bilion manakala PBT meningkat dua kali ganda kepada RM228.5 juta.

"Momentum jualan kami setakat ini adalah hasil kepelbagaian tawaran produk dengan harga dan lokasi yang tepat.

"Kejayaan konsisten produk-produk kediaman bertanah, kediaman bertingkat dan perindustrian juga jelas menunjukkan sambutan positif daripada pasaran terhadap hala tuju dan pembangunan produk yang strategik," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline