News & Articles Mah Sing rekod jualan RM1.8 bilion sembilan bulan 2023

Mah Sing rekod jualan RM1.8 bilion sembilan bulan 2023


1 Dec 2023
Mah Sing rekod jualan RM1.8 bilion sembilan bulan 2023
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) meraih jualan berjumlah RM1.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2023, sekali gus meletakkan keyakinan untuk mencapai sasaran minimum RM2.2 bilion yang ditetapkan untuk setahun penuh.

Kumpulan mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM600 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2023.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata dengan produk kukuh yang dimiliki kumpulan membabitkan komponen mampu milik dan pelancaran baharu, pemaju hartanah itu yakin dapat mencapai sasaran jualan minimum RM2.2 bilion.

"Penawaran produk kami yang sangat berbeza dan pembangunan Siri M memenuhi permintaan pasaran telah ditunjukkan menerusi hasil yang diraih pada suku ketiga tahun ini. Jualan Mah Sing yang belum dibil telah meningkat kepada RM2.42 bilion, memberikan keterlihatan hasil masa hadapan untuk kumpulan.

"Pencapaian ini dimanfaatkan menerusi kunci kira-kira yang sihat dan keyakinan dalam pemulihan model perniagaan pantas.

"Kami juga aktif berusaha untuk menambah simpanan tanah kami di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang untuk mengembangkan portfolio pembangunan kediaman dan perindustrian kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga September 2023, jualan yang dicatatkan Mah Sing adalah 14.4 peratus lebih tinggi berbanding RM1.57 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) masing-masing RM1.93 bilion dan RM226.8 juta.

Ia peningkatan masing-masing sebanyak 17.3 peratus dan 15.6 peratus berbanding RM1.65 bilion dan RM196.2 juta tempoh sama tahun lalu.

Mah Sing juga mengekalkan kunci kira-kira teguh apabila memiliki tunai, baki di bank dan dana pelaburan jangka pendek berjumlah sekitar RM865.4 juta.

Pada suku ketiga 2023, Mah Sing mencapai hasil dan PBT yang kukuh, masing-masing sebanyak RM644.3 juta dan RM76.1 juta.

Disokong dengan prestasi berdaya tahan projek siri-M, Hoy Kum berkata, Mah Sing akan terus meneroka lebih banyak pengambilalihan untuk membangunkan rumah kediaman mampu milik serta mengembangkan portfolio pembangunan perindustrian.

Lanjutan daripada empat pengambilan tanah baharu pada awal tahun ini iaitu, M Terra dan M Hana di Puchong, M Tiara di Johor Bahru, Glengowrie Estate di Semenyih dan M Zenya di Kepong, Mah Sing telah menjalin kerjasama usaha sama pada September lalu untuk menawarkan penyelesaian perkhidmatan sehenti untuk perniagaan asing yang ingin menubuhkan pangkalan pembuatan di Malaysia.

Sehingga 30 September 2023, segmen pembangunan hartanah mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM259.7 juta dengan hasil sebanyak RM1.56 bilion, iaitu masing-masing 4.9 peratus dan 20.5 peratus lebih tinggi daripada keuntungan operasi dan hasil yang dicatatkan setahun lalu.

Hasil dan keuntungan operasi yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh jualan hartanah yang lebih tinggi dan pengiktirafan hasil yang progresif daripada kemajuan pembinaan yang berterusan.

Projek pembangunan yang menjadi penyumbang pendapatan utama termasuk M Vertica di Cheras, M Arisa di Sentul, M Luna di Kepong, Meridin East di Johor Bharu, M Oscar di Sri Petaling, M Adora di Wangsa Melawati, M Senyum di Salak Tinggi dan Southville Bandar di Bangi.

Projek lain yang turut menyumbang termasuk M Astra di Setapak, M Aruna dan M Panora di Rawang, Southbay City dan Ferringhi Residence di Pulau Pinang, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan Mah Sing i-Parc di Johor.

Sementara itu, pendapatan segmen pembuatan meningkat sedikit 0.6 peratus kepada RM328.1 juta dalam tempoh semasa berakhir 30 September 2023 berbanding RM326.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor