News & Articles Pasaran hartanah dijangka terus tumpu rumah mampu milik

Pasaran hartanah dijangka terus tumpu rumah mampu milik


18 Dec 2023
Pasaran hartanah dijangka terus tumpu rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: Tren pasaran hartanah kekal tertumpu kepada rumah mampu milik pada 2024 berdasarkan kepada tahap pendapatan rakyat ketika ini.

Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Khoo Zing Sheng berkata, rumah mampu milik kekal menjadi kebimbangan utama di kalangan rakyat didorong oleh perbezaan antara penawaran dan permintaan terutamanya dalam hartanah kediaman berharga di bawah RM500,000 di samping pertumbuhan pendapatan yang lembap.

Beliau berkata, ini sejajar dengan pertumbuhan Indeks Harga Rumah Malaysia berikutan ledakan hartanah yang lebih awal pada 2008-2013.

"Cabarannya ialah ia diburukkan lagi oleh simpanan isi rumah yang lebih rendah dan kesukaran mendapatkan margin pembiayaan yang tinggi untuk membeli perumahan mewah.

"Dengan kadar faedah dinormalkan, bakal pembeli akan lebih arif dalam membuat keputusan pembelian," katanya.

Zing Sheng berkata, selain itu, hartanah pelabur yang memegang tiga atau lebih pinjaman perumahan masih tertakluk kepada had pinjaman kepada nilai yang lebih rendah sebanyak 70 peratus.

Beliau berkata, faktor-faktor itu dijangkakan menyumbang kepada pertumbuhan harga rumah yang sederhana dan had pada harga hartanah kediaman mewah dalam tempoh terdekat.

Potensi untuk pertumbuhan yang lebih teguh dalam hartanah kediaman berharga tinggi katanya hanya bergantung pada faktor seperti peningkatan tahap pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam sentimen di pasaran hartanah Malaysia dipacu oleh pembangunan yang menggalakkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan kempen Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

"Ini termasuk pemformalan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura untuk bersama-sama menubuhkan JSSEZ, kebangkitan dan pelancaran projek infrastruktur mega dan kelonggaran syarat untuk program MM2H," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline