Minat terhadap pasaran hartanah semakin meningkat
KUALA LUMPUR: Minat terhadap pasaran hartanah tempatan dijangka meningkat secara berperingkat didorong perkembangan menggalakkan disokong beberapa projek pemangkin membabitkan Malaysia dan Singapura.
Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Alex Goh, berkata melangkah ke hadapan, bank pelaburan itu turut menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam transaksi jualan hartanah dipacu unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2024 sebanyak 4.5 peratus.
Katanya, pemulihan projek infrastruktur mega dan inisiatif kerajaan untuk membangunkan Johor juga menjadi pemangkin sihat kepada industri hartanah.
"Ini termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Singapura untuk bersama-sama menubuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ); dan pemulihan dan pelancaran projek infrastruktur berskala mega.
"Perkembangan membabitkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan pendedahan butiran lanjut mengenai kelonggaran syarat untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mendorong pemulihan sentimen pasaran hartanah tempatan," katanya dalam nota penyelidikan.
Goh berkata, prospek lebih baik dalam sektor hartanah juga diramal berikutan kos pembinaan yang semakin stabil, isu kekurangan buruh yang mereda dan tiada kenaikan dalam kadar faedah di Malaysia.
Katanya, saham membabitkan sektor hartanah mengalami tekanan sejak tiga tahun lalu disebabkan impak negatif termasuk peningkatan kos binaan, kekurangan buruh dan kenaikan kadar faedah.
"Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini termasuk kos bahan binaan yang stabil dan lebih banyak ketersediaan buruh asing di tapak pembinaan telah mengurangkan kesan isu ini.
"Ini menyokong kadar kerja pembinaan yang lebih cepat untuk projek yang sedang dibangunkan, sekali gus meningkatkan keupayaan pemaju. Purata jualan yang belum dibilkan untuk pemaju di bawah liputan kami dianggap lebih baik pada 1.4x, tahap yang sejajar tempoh sebelum pandemik," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kitaran kenaikan kadar faedah tempatan dijangka memupuk sentimen belian lebih positif dalam pasaran hartanah, selain meringankan beban kewangan pemaju.
"Jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual berada dalam aliran menurun sejak mencapai kemuncaknya pada suku keempat 2021. Kami melihat keadaan lebihan bekalan secara beransur-ansur berkurangan dalam pasaran hartanah Malaysia, selain sentimen pelabur juga semakin meningkat," katanya.
Goh berkata, aliran semasa dalam pasaran perumahan kekal tertumpu kepada rumah mampu milik, dengan potensi untuk peralihan ke atas peningkatan jangka panjang yang ketara membabitkan tahap pendapatan rakyat Malaysia dan pulangan kukuh pembeli asing.
"Keterjangkauan perumahan kekal menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia, didorong oleh perbezaan antara penawaran dan permintaan, terutamanya dalam hartanah kediaman berharga di bawah RM500,000 di samping pertumbuhan pendapatan yang lembap.
"Cabaran ini diburukkan lagi oleh simpanan isi rumah yang lebih rendah dan kesukaran untuk mendapatkan margin pembiayaan yang tinggi untuk membeli perumahan mewah. Dengan kadar faedah dinormalkan, bakal pembeli akan lebih bijak dalam membuat keputusan pembelian," katanya.
Source: Bharian.com.my