Hartanah di Iskandar Malaysia dijangka semakin laku
KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah di Iskandar Malaysia dijangka rancak tahun ini dipacu minat asing yang tinggi, kata Pengarah Urusan Kumpulan CBRE|WTW, Tan Ka Leong.
Beliau berkata, wilayah selatan Semenanjung Malaysia itu menarik minat yang besar pelabur antarabangsa kerana pembangunan infrastruktur yang berterusan dan tumpuan kepada kehidupan lestari.
Justeru, katanya, ia menjadikannya lokasi utama untuk projek baharu yang menarik dan kuasa ekonomi yang berpotensi menuju ke depan.
"Iskandar Malaysia menjadi tumpuan bagi pasaran hartanah berikutan kemasukan pelaburan dan juga pembinaan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.
"Pelaksanaan dasar yang lebih mesra juga akan membantu menarik pembeli hartanah ke kawasan ini," katanya pada taklimat sempena pelancaran Tinjauan Pasaran Hartanah Malaysia 2024 oleh CBRE|WTW di sini, hari ini.
Selain Iskandar Malaysia, Ka Leong berkata, gelombang transformasi meluas ke seluruh Malaysia juga memberi kesan kepada pelbagai sektor.
Beliau berkata, dengan kehadiran pemain utama global seperti Tesla di Lembah Klang juga menjadikannya sebagai hab untuk pembangunan lestari.
Katanya, tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pula telah meningkat, sekali gus mendorong pemaju hartanah memberi tumpuan dalam aspek berkenaan di pembangunan mereka.
Bagi pasaran hartanah di Sabah, Ka Leong berkata, keyakinan terhadap sektor pelancongan meningkat akan menyokong pertumbuhan pasaran hartanah di negeri itu.
Bagi Sarawak pula, beliau berkata, dengan kepimpinan yang stabil akan memperlihatkan kemajuan yang ketara dalam pembangunan infrastruktur dan kelestarian.
"Lebuh Raya Pan Borneo adalah contoh utama, menarik minat dalam inisiatif bahan api hijau dan perkongsian antarabangsa. Kemajuan ini mewujudkan peluang menarik untuk rantau ini," katanya.
Bagi pasaran hartanah Pulau Pinang pula, Ka Leong berkata, pelaksanaan projek infrastruktur seperti Pulau Silikon Pulau Pinang dan LRT dijangka mengubahnya menjadi syurga inovasi dan ketersambungan.
Katanya, teknologi termaju dan seni bina canggih yang mentakrifkan masa depan Pulau Pinang adalah tarikan utama.
"Tahun ini, pasaran hartanah bukan saja berubah, ia berkembang. Prinsip ESG bukan lagi nota kaki, tetapi sebagai penggerak.
"Daripada bangunan cekap tenaga kepada ruang yang mengutamakan komuniti, tumpuan adalah untuk mencipta masa depan yang bukan saja menguntungkan, tetapi bertanggungjawab dan lestari," katanya.
Source: Bharian.com.my