Mah Sing mahu bina lebih banyak rumah di Johor
KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) merancang untuk mengembangkan penawaran produk di Johor selaras pertumbuhan pesat pasaran hartanah di negeri itu.
Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Khoo Zing Sheng, berkata pelancaran baharu di Johor dijangka meningkat kepada 32 peratus tahun ini berbanding 21 peratus pada 2023.
"Mah Sing dijangka meluaskan penawaran produk baharu di Johor yang turut merangkumi pelancaran sulung M Tiara di Lima Kedai dan fasa baharu di perbandaran Meridin East di Pasir Gudang," katanya dalam nota satu penyelidikan.
Pelan pengembangan Mah Sing di Johor adalah selaras dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka merangsang permintaan hartanah Johor dengan menarik minat lebih ramai warga Singapura memiliki kediaman di negeri terbabit.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura.
MoU itu ditandatangani Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan rakan sejawatnya, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong.
Pemeteraian MoU JS-SEZ itu dilaksanakan hanya selepas dua bulan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 Oktober lalu.
Ia sekali gus mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin dan usaha ke arah perjanjian penuh mengenai JS-SEZ dan perinciannya akan dilakukan pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, yang akan diadakan di negara ini.
Sementara itu, Zing Sheng berkata, Mah Sing bersedia memenuhi permintaan hartanah pertengahan tinggi bernilai RM500,000 hingga RM1 juta dan mewah (hartanah melebihi RM1 juta) melalui pelancaran projek Siri S yang akan datang.
"Dalam rangkaian simpanan tanah kumpulan, projek khusus seperti projek masa depan Southville City, Glengowrie Estate (M Legasi), Icon City di Petaling Jaya dan Southbay City, dianggap sesuai untuk tawaran pertengahan tinggi hingga mewah.
"Sungguhpun begitu, tumpuan utama Mah Sing kekal pada Siri M, untuk memenuhi keperluan rangkaian mampu milik dan segmen industri. Projek Siri S akan diperkenalkan secara strategik, sejajar dengan peralihan pasaran ke arah segmen kelas atasan," katanya.
Untuk imbasan, pada September 2023, Mah Sing mewujudkan usaha sama dengan rakan kongsi China, iaitu The South Sea Capital bagi menawarkan penyelesaian sehenti perniagaan untuk menubuhkan pangkalan pembuatan di Malaysia.
Dalam pada itu, AmInvestment Bank menjangkakan sasaran jualan tahun kewangan 2024 adalah lebih tinggi berbanding RM2.2 bilion yang disasarkan pada 2023.
Katanya, ia akan dipacu pelancaran baharu dalam perancangan dan permintaan kukuh yang berterusan untuk produk siri M.
"Kami memahami bahawa jualan sebenar pada 2023 telah melebihi sasaran jualan kumpulan sebanyak RM2.2 bilion. Panduan pengurusan untuk tahun kewangan 2024 akan diumumkan pada penghujung Februari ini," katanya.
Mah Sing juga telah mengenal pasti tanah perindustrian dan kini dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian tanah.
"Kami menjangkakan transaksi ini akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat," katanya.
Source: Bharian.com.my