MAPEX Selangor tawar 10,000 unit hartanah bernilai RM1.5 bilion
KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Selangor 2024 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini menyediakan 10,000 unit hartanah pelbagai jenis kepada pembeli dengan nilai keseluruhan hampir RM1.5 bilion.
Pengerusi Penganjuran MAPEX Selangor 2024, Loo Chee Yang, berkata pameran dianjurkan Persatuan Pembangunan Hartanah dan Perumahan (REHDA) Selangor kali ini membabit sebanyak 11 pemaju hartanah dengan menyediakan satu platform unik untuk pelawat mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini mengenai pelbagai projek hartanah di Selangor dan sekitar Kuala Lumpur.
"Dengan kehadiran pelbagai pemaju hartanah yang terkemuka, pelawat dapat meneliti pelbagai jenis rumah, daripada kondominium mewah hingga rumah teres sederhana di mana mereka dapat membandingkan harga dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh setiap projek.
"Pelawat yang mengunjungi pameran hartanah ini juga berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil jualan dan wakil pemaju di mana komunikasi langsung ini dapat membantu meningkatkan kefahaman mengenai produk hartanah yang dipamerkan dan membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih bermaklumat," katanya semasa pelancaran MAPEX Selangor 2024 yang diadakan di pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil.
Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.
Chee Yang berkata, MAPEX Selangor 2024 menyediakan pelbagai promosi dan tawaran istimewa kepada pelawat yang membuat pembelian sepanjang pameran ini.
"la termasuk diskaun harga, insentif kewangan atau pakej tambahan menarik di mana pelawat boleh memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan nilai terbaik dalam menjimatkan kos pembelian," katanya
Sementara itu, Pengerusi REHDA Selangor, Datuk Zaini Yusoff, berkata industri hartanah merupakan salah satu sektor utama memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, sektor ini turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang besar, termasuk kos pembinaan yang semakin meningkat dengan mendadak dan kepelbagaian permintaan dalam pasaran.
"Oleh itu, pemaju harus mengkaji dan menyusun semula strategi pembangunan hartanah mereka dengan memberi tumpuan kepada kelestarian dan reka bentuk yang berdaya tahan serta integrasi teknologi digital dalam industri pembinaan yang juga merupakan satu aspek yang semakin kritikal dan harus dilaksanakan dengan segera.
"Dalam era penuh dengan perubahan dan transformasi ini, REHDA Selangor tetap kekal teguh di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran ini dan secara konsisten menjadi rakan setia bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memajukan industri hartanah dengan lebih progresif, inovatif dan dinamik," katanya.
Beliau berkata, Kerjasama ini menghasilkan banyak kemajuan penting dan membawa perubahan yang ketara, terutamanya melalui peningkatan kecekapan dalam proses pembinaan yang kini mengintegrasikan teknologi terkini dalam industri hartanah tempatan.
REHDA Selangor, katanya komited untuk terus menyokong perkembangan dan kemajuan industri perumahan di Negeri Selangor dan sekitar Lembah Klang.
Source: Bharian.com.my