News & Articles Komposisi isi rumah pengukur lebih tepat kemampuan miliki kediaman

Komposisi isi rumah pengukur lebih tepat kemampuan miliki kediaman


16 May 2024
Komposisi isi rumah pengukur lebih tepat kemampuan miliki kediaman
PETALING JAYA: Pendapatan Residual (RI) adalah pendekatan yang lebih sesuai untuk mengukur kemampuan memiliki rumah dengan mengambil kira jenis dan saiz serta perbelanjaan dan pendapatan bersih isi rumah.

Pendekatan itu dilihat cara yang lebih baik untuk mengukur dengan lebih tepat penanda aras kediaman mampu milik di Malaysia berbanding pendekatan Kepelbagaian Media (MM), demikian menurut REHDA Institute.

Pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip, berkata Malaysia memerlukan penyelidikan baharu untuk mengkaji pelbagai analisis perbandingan bagi mengukur tahap mampu milik perumahan di negara ini.

"Tinjauan REHDA Institute yang merangkumi input daripada jurubank, profesional, pihak berkuasa dan pemaju mendedahkan kebanyakan responden bersetuju bahawa pendekatan RI adalah pendekatan terbaik untuk mengukur tahap mampu milik perumahan.

"Bagaimanapun, ketiadaan statistik komprehensif membabitkan demografi menjadi penghalang dalam pelaksanaan pendekatan RI yang berkesan dalam jangka pendek," katanya kepada media pada Persidangan Perumahan Serantau REHDA Institute, di sini, hari ini.

Persidangan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Tiong Lip berkata, ketiadaan statistik demografi yang lengkap menyaksikan Pendekatan Beban Kos Perumahan (HCB) boleh diguna pakai buat sementara waktu sebelum pendekatan RI digunakan dalam penggubalan dasar apabila terdapatnya pangkalan data perumahan serta penduduk yang komprehensif.

"Laporan Perumahan Mampu Milik II memberi penekanan bahawa perubahan profil demografi dan komposisi rakyat mungkin tidak diambil kira dengan secukupnya untuk menentukan tahap kemampuan di Malaysia," katanya.

Sebagai contoh, katanya, penduduk Malaysia berjumlah 17.56 juta orang pada 1991, tetapi secara perbandingan ia dianggarkan mencapai jumlah penduduk sebanyak 33.38 juta pada akhir tahun lalu dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) menurun kepada 0.9 pada 2020 hingga 2023 daripada 2.6 peratus (1991 hingga 2000).

"Bilangan isi rumah di Malaysia juga mengalami pertumbuhan sederhana daripada 3.57 juta pada 1991 kepada anggaran 8.88 juta isi rumah pada 2023 dengan CAGR merosot daripada 3.4 peratus (1991 hingga 2000) kepada 2.6 peratus (2020 hingga 2023).

"Sementara itu, saiz isi rumah purata berkurangan daripada 4.9 pada 1991 kepada 3.9 pada 2022 dan dianggarkan terus menurun kepada 3.8 pada 2023," tambahnya.

Tiong Lip berkata, REHDA Institute menekankan bahawa rumah mampu milik harus dibezakan daripada perumahan sosial dan awam dengan menyasarkan kumpulan yang berbeza di peringkat lokaliti tertentu.

"Objektif utama membangunkan perumahan sosial dan awam adalah untuk menyediakan tempat tinggal kepada golongan memerlukan yang tidak mampu membeli unit harga pasaran terbuka.

"Pemaju harus membina rumah mampu milik selaras dengan permintaan pasaran dan dalam persekitaran pasaran terbuka.

"Adalah penting untuk mengelak daripada memihak kepada keperluan pasaran sasaran tertentu dengan mengorbankan keperluan perumahan pembeli berpotensi lain. Kuasa pasaran bebas harus diutamakan dalam pembangunan perumahan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Penang's northern techvalley @ BKE targets high-value investments

  • Projek pembangunan IOI Rio City di Puchong ambil inspirasi Singapura

  • Install solar panels in new housing projects, Fadillah tells developers

  • Sektor pengguna, hartanah penerima manfaat besar Belanjawan 2025

  • TSFT Revives 371 Sick, Abandoned Projects With Gdv Of RM44.59 Bln From Jan-Sept 2024