Rumah bawah RM300,000 paling banyak dilancar pada suku pertama
KUALA LUMPUR: Pelancaran kediaman baharu merekodkan peningkatan pada suku pertama 2024 dengan rumah di bawah harga RM300,000 adalah paling banyak dilancarkan, demikian menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Ia sekali gus memperlihatkan pemaju hartanah mula membina lebih banyak rumah mampu milik seiring dengan kehendak pengguna ketika ini.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta JPPH, Abdul Razak Yusak, berkata berdasarkan data agensi itu, sebanyak 36.3 peratus atau 2,028 unit rumah baharu yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini adalah berharga di bawah RM300,000.
Beliau berkata, rumah berharga di antara RM300,000 hingga RM500,000 pula adalah sebanyak 22.1 peratus atau 1,236 unit, manakala rumah berharga RM500,001 hingga RM1 juta pula sebanyak 33 peratus (1,844 unit) dan 8.6 peratus (477 unit) rumah berharga di atas RM1 juta.
Katanya, negeri yang paling banyak melancarkan rumah baharu pada suku dikaji adalah Johor (1,819 unit) diikuti oleh Selangor (1,479 unit) dan Pahang (692 unit).
Secara keseluruhan, Abdul Razak berkata pelancaran rumah baharu pada suku pertama tahun ini mencatatkan sebanyak hampir 5,600 unit, meningkat 19 peratus berbanding suku pertama tahun lalu dari segi bilangan unit, manakala prestasi jualan mencatatkan kadar 20 peratus atau sebanyak 1,119 unit.
"Aktiviti pembinaan juga dilihat menunjukkan senario yang signifikan. Projek mula dibina meningkat kepada lebih 21,300 unit berbanding hampir 20,000 unit tempoh yang sama tahun lalu.
"Kenaikan hampir lapan peratus ini menunjukkan tanda awal yang positif pembangunan sektor hartanah negara. Pembangunan baharu yang dirancang pula berkurang sedikit, sekitar 11,000 unit berbanding hampir 13,000 unit pada suku pertama 2023," katanya ketika taklimat media Pasaran Harta Suku Pertama 2024 yang diadakan secara maya, hari ini.
Abdul Razak berkata, unit kediaman siap tidak terjual pada suku yang dikaji turut memperlihatkan momentum yang memberangsangkan.
Beliau berkata, unit siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan kepada hampir 24,000 unit dengan nilai RM16.5 bilion, berbanding hampir 26,000 unit bernilai RM17.7 bilion pada suku sebelumnya.
Walau bagaimanapun katanya, terdapat peningkatan minumum bagi unit siap dibina tidak terjual bagi pangsapuri perkhidmatan pada kadar lima peratus dari segi bilangan dan hampir 10 peratus bagi nilai dengan jumlah mencecah 21,000 unit bernilai hampir RM18.2 bilion.
"Unit pangsapuri khidmat berharga RM500,000 hingga RM1 juta adalah penyumbang terbesar iaitu 58 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.
Pada suku pertama, unit kediaman siap tidak terjual yang paling banyak adalah rumah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta sebanyak 29.4 peratus atau 7,111 unit bernilai RM4.77 bilion.
Rumah berharga bawah RM300,000 juga turut merekodkan 28.6 peratus unit kediaman siap tidak terjual sebanyak 6,933 unit bernilai RM1.47 bilion.
Perak antara negeri yang paling banyak unit rumah siap tidak terjual sebanyak 4,588 unit diikuti Johor (3,629 unit), Kuala Lumpur (3,194 unit) dan Selangor sebanyak 3,011 unit.
Source: Bharian.com.my