News & Articles Bahana rumah kejar 'deadline'

Bahana rumah kejar 'deadline'


14 Jun 2024
Bahana rumah kejar 'deadline'
LEBIH 80 peratus, kecacatan atau 'defect' pada struktur kediaman yang baru dibina disumbang faktor mutu atau kualiti kerja kontraktor yang rendah.

Sadisnya mutu atau kualiti pembinaan rendah dilihat lebih ketara terutama rumah mampu milik yang mana dipercayai membabitkan segelintir kontraktor atau pemaju yang sama.

Hal itu dikongsi seorang pengarah operasi sebuah syarikat pemeriksaan kecacatan rumah, Muhamad Syahrizal Al Azmi apabila terbabit dalam pemeriksaan projek perumahan baharu sejak tujuh tahun lalu.

Kata Muhamad Syahrizal, dia terkilan apabila melihat ada segelintir kontraktor dan pemaju bersikap sambil lewa dalam menyiapkan projek sehingga kecacatan berlaku.

"Selepas tujuh tahun terbabit memeriksa kualiti rumah klien, saya dapati ada segelintir kontraktor binaan dan syarikat pemaju membina rumah hanya untuk memenuhi kuota dan syarat 'deadline' projek.

"Dengar sahaja pemaju dan kontraktor projek itu, saya sudah boleh agak kerosakan dan kualiti rumah yang dijual pada klien.

"Kontraktor atau pemaju yang ada masalah dari segi kualiti pembinaan dan pertukangan ini kerana mereka tidak memiliki tenaga kerja yang mencukupi.

"Terutama ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan kualiti pembinaan atau pertukangan rumah itu lagi merudum," katanya.

Senario kekurangan tenaga kerja itu secara tidak langsung mempengaruhi peningkatan rumah baharu yang akan ada masalah kecacatan serius yang teruk.

Kacacatan itu sama ada lebih banyak atau lebih ketara membabitkan struktur utama bangunan.

Kata Muhamad Syahrizal lagi, ketika pemeriksaan kecacatan pada projek rumah baharu, pihaknya akan mengenal pasti dua jenis kecacatan pada rumah.

"Pembeli rumah zaman ini sudah tahu keperluan mengupah 'defect inspector' atau pemeriksa kecacatan rumah profesional.

"Sebenarnya ketika mula-mula terima kunci dan masuk ke rumah baru, pembeli rumah sedia maklum sama ada kecacatan rumah yang mereka alami itu teruk atau tidak.

"Apabila kami datang, pemeriksaan lebih terperinci dilakukan. Aspek kecacatan itu dinilai berdasarkan dua kategori.

"Sama ada kecacatan itu hanya membabitkan pertama faktor luaran atau 'patent defect' seperti kemasan, rekahan atau cat tidak sekata.

"Lagi satu dipanggil 'latent defect' merujuk kecacatan tidak dapat dilihat seperti bocor di dalam dinding dan pendawaian elektrik yang tidak kemas," katanya.

Mengenai nilai kecacatan jika tidak dilakukan tuntutan sewajarnya terhadap pihak pemaju, kata Muhamad Syahrizal, kerugian terpaksa ditanggung pembeli rumah.

"Saya sedia maklum betapa susahnya pembeli sekarang terutama pasangan muda untuk memiliki kediaman.

"Untuk rumah harga mampu milik juga tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah.

"Apabila kami turun dan melihat kecacatan dialami dapat rasakan betapa tinggi kos jika ia perlu ditanggung pemilik.

"Anggaran rata-rata nilai kecacatan rumah jika dibaik pulih menelan kos sekitar RM30 ribu hingga RM50 ribu.

"Andai pemaju atau kontraktor yang menjual rumah dengan kecacatan ini bermain 'helah,' ia boleh memberi beban kepada pembeli.

"Terutama pembeli pertama kali memiliki hartanah dan tidak membuat kajian, golongan ini kerap menjadi mangsa kepada pemaju atau kontraktor tidak bertanggungjawab terbabit," katanya.

Muhamad Syahrizal turut menasihati pembeli hartanah supaya lebih peka dengan hak mereka terutama dalam isu kecacatan rumah itu.

"Saya nasihat kepada pembeli rumah jangan mudah mengalah terutama membabitkan hak anda sebagai pembeli.

"Sebelum buat keputusan membeli rumah projek baharu, periksa trek rekod dan tengok juga kontraktor utama.

"Selepas membeli dan dapat kunci, teliti spesifikasi rumah bagi memastikan ia mengikut apa yang pernah dijanjikan.

"Kecacatan rumah diperiksa segenap sudut dan hantar aduan serta tuntutan secepat mungkin.

"Semak selalu perkembangan aduan dan tuntutan supaya pemaju dan kontraktor bertindak mengikut standard sewajarnya.

"Jika tampak culas, pembeli jangan putus asa dan pastikan tuntutan mendapat perhatian pemaju serta kontaktor.

"Ini penting supaya kerja-kerja membaik pulih kerosakan berpunca daripada kerja pembinaan atau pertukangan pemaju dilakukan pemaju atau kontraktor projek perumahan baru terbabit," katanya.

Pakar itu turut berkongsi masalah kecacatan rumah membabitkan projek kondominium mewah di ibu kota bernilai jutaan ringgit turut berlaku.

"Dalam menangani atau menguruskan kecacatan pada rumah, sebenarnya kos membabitkan projek bernilai jutaan lebih baik pengurusannya.

"Isu untuk kos rendah dan mampu milik sebenarnya menjadi kebimbangan. Sebaiknya kerajaan tingkatkan penguatkuasaan agar isu berkaitan kecacatan tidak berulang terutama membabitkan pemaju dan kontraktor yang ada trek rekod bermasalah," katanya.

Source: hmetro.com.my

Latest Posts
  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah