News & Articles Urus niaga hartanah rancak pada separuh pertama tahun ini

Urus niaga hartanah rancak pada separuh pertama tahun ini


19 Jul 2024
Urus niaga hartanah rancak pada separuh pertama tahun ini
KUALA LUMPUR: Sektor hartanah Malaysia menunjukkan prestasi yang membanggakan pada separuh pertama tahun ini, didorong oleh perkembangan strategik dan minat pelabur yang semakin meningkat, demikian menurut Knight Frank Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Keith Ooi, berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pelaburan yang ketara dan trend pasaran adaptif menjadi pemangkin utama yang menyokong pertumbuhan dalam sektor berkenaan.

"Malaysia terus menunjukkan prospek pertumbuhan yang cerah, disokong oleh pelaburan strategik, penambahbaikan infrastruktur dan dinamik pasaran yang berkembang," katanya.

Perunding hartanah global itu mengeluarkan analisis bertajuk Sorotan Hartanah Separuh Pertama 2024 yang menunjukkan pasaran dinamik dan berdaya tahan di keseluruhan sektor kediaman, pejabat, peruncitan, hospitaliti dan perindustrian.

Semasa pembentangan itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan, Amy Wong, berkata segmen kediaman bertingkat tinggi di Lembah Klang dan Johor menyaksikan peningkatan dalam jumlah urus niaga dan nilai jualan.

Beliau menunjukkan bahawa pada suku pertama 2024, sejumlah 3,413 unit kediaman bernilai RM2.8 bilion dijual, menandakan peningkatan 19.2 peratus dalam jumlah dan peningkatan 19.3 peratus dalam nilai jualan.

Tiga projek kondominium mewah telah disiapkan pada suku berkenaan, menawarkan sebanyak 1,846 unit untuk pasaran.

"Pada masa depan dengan siapnya beberapa projek pada separuh kedua 2024, ia akan menambah sebanyak 5,866 unit lagi.

Di Johor, pertumbuhan dalam jumlah urus niaga dan nilai dicatatkan untuk kedua-dua kategori iaitu kondominium/apartment dan pangsapuri perkhidmatan.

"Beberapa projek kediaman bertingkat telah dilancarkan, mencerminkan pasaran yang rancak dipacu oleh pembangunan strategik seperti projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura," katanya.

Sementara itu, sektor pejabat terus menarik syarikat multinasional, disokong oleh kadar sewa yang kompetitif, tenaga kerja mahir dan sokongan kerajaan yang baik untuk ekonomi digital.

Pengarah Strategi dan Penyelesaian Pejabat, Naythan Chong, berkata di Lembah Klang, sektor pejabat mengalami peningkatan sederhana dalam kadar penghunian dan penyewaan, didorong oleh penempatan semula penyewa dan pasaran yang berdaya tahan di pinggir Kuala Lumpur dan Selangor.

Pada separuh pertama 2024, dua bangunan penting telah siap yang meningkatkan ruang pejabat sebanyak 0.4 juta kaki persegi ke pasaran dan menjadikan keseluruhan ruang pejabat kepada 117.9 juta kaki persegi.

Di Johor, kadar sewa yang stabil dapat disaksikan di pinggir bandar raya Johor Bahru, manakala di Pulau Pinang, bekalan ruang pejabat kekal stabil dengan 6.9 juta kaki persegi di Pulau Pinang dan 1.7 juta kaki persegi di Seberang Perai.

Tiga menara pejabat baharu dijangka memasuki pasaran pada separuh kedua 2024 di Pulau Pinang, termasuk Sunshine Tower, GBS by The Sea dan bangunan pejabat 34 tingkat di Gelugor.

Mengenai segmen peruncitan, Pengarah Pengurusan dan Perunding Peruncitan, Yuen May Chee, berkata trend itu menunjukkan pengembangan berterusan di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Bagaimanapun, beliau melihat prestasi ringgit dan inflasi, kadar faedah yang tinggi, peningkatan kos dan sewa akan menambah sedikit tekanan ke atas perbelanjaan pengguna dan kos operasi.

Sementara itu, bagi segmen perindustrian, Pengarah Eksekutif Penyelesaian Tanah dan Perindustrian, Allan Sim, berkata pasaran hartanah perindustrian Malaysia menyaksikan permintaan yang kukuh, terutamanya untuk pembangunan mampan yang berkualiti tinggi.

"Sektor pembuatan diunjurkan berkembang sebanyak 3.5 peratus pada 2024, disokong oleh pemulihan industri berorientasikan eksport dan pertumbuhan mampan dalam kluster domestik," katanya.

Sim berkata, peralihan yang ketara ke arah ruang logistik yang berkualiti tinggi dan mampan, menyumbang kepada sedikit peningkatan dalam sewa.

Pelabur institusi juga semakin menyasarkan aset-aset perindustrian di Lembah Klang untuk pulangan yang stabil dan potensi pertambahan hasil, tambahnya.

Di Johor, pertumbuhan pesat dalam pasaran pusat data didorong oleh kedudukannya yang hampir dengan Singapura serta pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Januari 2024.

Selain itu, Pulau Pinang dijangka menjadi hab industri berteknologi tinggi, khususnya dalam pembuatan semikonduktor dan elektronik.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunway to expand Sunway City Ipoh with RM4bil in investments

  • S P Setia lancar fasa baharu Ambrosia II, harga bermula RM1.75 juta

  • Tropicana introduces Skypark Kepler by Banyan Group

  • Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development