JS-SEZ: Jual-beli tanah di Kulai meningkat tinggi - Penganalisis
KUALA LUMPUR: Daerah Kulai di Johor dilihat menjadi tumpuan perniagaan susulan rancangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata penganalisis.
Urus niaga tanah bernilai RM1.8 bilion dilihat diuruskan di daerah itu saja sejak Januari 2023 membabitkan kebanyakan tanah pertanian dengan harga sekurang-kurangnya RM8.50 satu kaki persegi atau RM915,000 sehektar.
Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Ong Chee Ting, berkata lebih banyak pemaju hartanah dilihat membeli tanah pertanian di Kulai dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang secara kolektif membeli lebih 809 hektar tanah.
Beliau berkata, sementara pembangunan di Kulai kini diterajui dua pemaju utama iaitu Genting Plantation Bhd dan IOI Properties Group Bhd, penambahan pembangun lain pasti akan menambah kemeriahan dan daya tarikan Kulai, dan seterusnya meningkatkan lagi nilai hartanah.
"Sepanjang 18 bulan yang lalu, kami menyaksikan enam urus niaga utama di Kulai bernilai RM1.8 bilion. Pembelian tanah seluas 49.8 hektar oleh Microsoft daripada Eco World Development Group Bhd (ECW) dengan harga RM75 sekaki persegi adalah urus niaga yang paling banyak diperkatakan di Kulai.
"Kami percaya mungkin terdapat lebih banyak minat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada masa depan, menjelang butiran lanjut JS-SEZ yang akan dimuktamadkan pada September," katanya dalam nota penyelidikannya.
Mengulas lanjut, Chee Ting berkata, daerah Kulai secara umumnya dibahagikan kepada dua oleh Lebuhraya PLUS (PLUS) menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru (JB).
Beliau berkata, tanah yang terletak di timur laut (NE) PLUS lebih berpenduduk dengan infrastruktur yang lebih baik, malah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Johor Premium Outlets terletak di situ.
Jelasnya, tanah yang terletak di barat daya (SW) PLUS pada umumnya kurang membangun tetapi menjadi lokasi bagi Taman Teknologi Sedenak dan Pusat Data Hijau YTL.
Oleh itu, katanya, adalah tidak mengejutkan bahawa harga transaksi tanah di NE PLUS adalah lebih tinggi berbanding di SW PLUS.
"Di samping permintaan meningkat untuk pusat data (DC) dan pembangunan hartanah, sebahagian tanah di Kulai ini mungkin menarik untuk Solar Berskala Besar (LSS), yang mensasarkan penjualan elektrik rentas sempadan ke Singapura atau Akses Pihak Ketiga (TPA) dan pembangunan taman perindustrian hijau," katanya.
Pada minggu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura dijangka dimeterai September ini,
Beliau berkata, rundingan kedua-dua negara sudah di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan dan apabila perjanjian dimeterai, usaha pelaksanaan zon ekonomi itu akan dimulakan.
Difahamkan, JS-SEZ dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, dan boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China, yang menjadi bukti kejayaan sebagai sebuah zon ekonomi khas.
Zon ekonomi khas itu juga dijangka menambah baik ekosistem perniagaan wilayah Iskandar Malaysia dan Singapura.
Antara sektor yang disasarkan zon itu ialah elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan.
Source: Bharian.com.my