Had tempoh pinjaman rumah kekal 35 tahun, tidak akan dinaikkan
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bercadang untuk melaksanakan pinjaman antara generasi atau yang bertempoh 40 tahun ke atas bagi membiayai pembelian rumah kediaman, sebaliknya akan terus mengekalkan had pinjaman sedia ada sehingga 35 tahun yang diamalkan ketika ini.
Pengarah Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Daniel Chin Shen Li, berkata sebelum ini pinjaman bertempoh sehingga 45 tahun pernah dilaksanakan lebih 10 tahun lalu, namun ia dihentikan dan ditetapkan sehingga 35 tahun sahaja.
Katanya, perkara itu dibuat kerana tidak mahu rakyat berhutang untuk tempoh yang terlalu lama selain ia tertakluk dalam garis panduan pinjaman bertanggungjawab kepada bank.
"Pandangan kami mengenai isu ini, antara sebab peminjam meminta tempoh pinjaman yang lebih lama adalah untuk mengurangkan ansuran bulanan dan ia akan menjadikan pinjaman lebih mampu dan meningkatkan kemungkinan bank meluluskan pinjaman.
"Masalahnya adalah, jika anda memanjangkan tempoh pinjaman, apa yang anda sebenarnya lakukan adalah meningkatkan kos pembiayaan keseluruhan kepada peminjam dengan ketara untuk manfaat marginal yang sangat sedikit, iaitu untuk mengurangkan ansuran bulanan yang kecil sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel pada webinar bertajuk 'Pembiayaan dan Pengkomoditian Rumah Kita' anjuran Khazanah Research Institute (KRI) secara maya hari ini.
Webinar turut disertai ahli panel terdiri daripada Pengarah KRI, Dr Suraya Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk N Jayaselan; dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Ho Hon Sang.
Sesi webinar itu dikendalikan oleh Penolong Penyelidik KRI, Theebalakshmi Kunasekaran.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Shen Li memberikan contoh pinjaman sebanyak RM300,000 dengan tempoh 35 tahun dan kadar faedah kira-kira 4.65 peratus.
"Jika jumlah pinjaman yang sama pada kadar faedah yang sama dilanjutkan lima tahun lagi kepada 40 tahun, peminjam akan membayar sembilan peratus lebih tinggi dalam kos pembiayaan keseluruhan, iaitu kira-kira RM51,000.
"Jumlah pembayaran bulanan pula hanya akan berkurang sebanyak RM70 sebulan. Jadi, anda menukar pengurangan RM70 sebulan untuk kos tambahan RM51,000 pada akhir tempoh pinjaman.
"Justeru, pertukaran ini tidak menguntungkan peminjam dan oleh itu, kami tidak melihat ada keperluan untuk melaksanakan had pinjaman lebih daripada 35 tahun," katanya.
Menjawab pertanyaan mengapa pinjaman rumah kediaman dihadkan pada 35 tahun dan tidak dikurangkan lagi, beliau menyatakan bahawa walaupun tempoh yang terlalu panjang mungkin merugikan, pada masa sama, tempoh yang terlalu pendek juga mempunyai kekurangannya sendiri.
"Dalam laporan KRI ada disebut bahawa pada tahun 1980-an, tempoh pinjaman adalah 10 tahun hingga 15 tahun.
Kekurangan utama tempoh yang terlalu pendek ialah ia menyukarkan ramai peminjam layak mendapatkan pinjaman perumahan, terutamanya golongan berpendapatan rendah, yang akan sukar untuk membeli rumah lebih baik pada masa akan datang.
"Jadi, apakah tempoh yang sesuai? Kami percaya bahawa tempoh yang sesuai adalah antara 25 hingga 35 tahun. Mengapa? Kerana kami fikir ia sesuai dengan kitaran hidup pendapatan peminjam. Seorang peminjam secara purata biasanya akan bekerja dan memperoleh pendapatan selama 30 hingga 35 tahun.
"Anda tamat belajar pada usia kira-kira 23 atau 24 tahun dan bersara pada usia 60 tahun. Itu memberi anda tempoh untuk mencari sumber pendapatan kira-kira 35 tahun. Jadi, tempoh pinjaman perumahan yang sejajar dengan kitaran hidup pendapatan peminjam akan menjadi lebih sesuai untuk dilaksanakan," katanya.
Source: Bharian.com.my