Harga rumah dijangka terus meningkat susulan inflasi, kos pembinaan - JLL
KUALA LUMPUR: Harga hartanah kediaman dijangka terus meningkat berikutan inflasi dan peningkatan kos pembinaan serta bahan binaan, demikian menurut firma perkhidmatan hartanah global, JLL.
Pengarah Urusan JLL Malaysia, Jamie Tan, berkata secara umumnya, pasaran hartanah kediaman mencatatkan peningkatan harga dengan purata harga pangsapuri dan kondominium di Greater Kuala Lumpur meningkat sebanyak 7.9 peratus sejak pandemik, sementara pangsapuri servis meningkat kira-kira 6.2 peratus.
Beliau berkata, harga paling tinggi dicatatkan di kawasan Batu (Bukit Kiara, Segambut) pada RM500 setiap kaki persegi bagi apartmen dan kondominium pada suku pertama 2024
Manakala, harga paling rendah pula dicatatkan di Cheras sebanyak RM299 bagi setiap kaki persegi, katanya.
"Harga dijangka terus meningkat bagi 2024/2025 berikutan peningkatan kos pembinaan dan bahan binaan. Tambahan pula, inflasi dijangka meningkat dalam tahun-tahun mendatang memandangkan pelaksanaan subsidi bersasar.
"Harga juga dijangka berdepan tekanan meningkat memandangkan tanah menjadi terhad terutama di pusat bandar dan lokasi utama," jelasnya pada sidang media suku ketiga 2024 JLL Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Mengenai situasi rumah siap tidak terjual, Tan berkata, situasi itu bertambah baik dengan mencatatkan kira-kira 20 peratus pada 2023 di Selangor berbanding masing-masing 22 peratus pada 2022 dan 48 peratus pada 2021.
Beliau berkata, kediaman siap tidak terjual di Kuala Lumpur pula berada pada paras 33 peratus pada 2023 berbanding 32 peratus pada 2022 dan 47 peratus pada 2021.
Katanya, volum transaksi dijangka tidak meningkat secara ketara pada 2024 memandangkan kadar faedah mungkin kekal pada paras semasa untuk tahun ini.
"Situasi rumah tidak terjual banyak bergantung kepada siapnya pembangunan kediaman dan pembangunan baharu (dalam pasaran).
"Apabila anda mempunyai pembangunan baharu yang siap, bekalan baharu akan memberi kesan kepada kediaman siap tidak terjual," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pertumbuhan JLL Malaysia, Christophe Vicic, berkata pelaburan berkaitan penubuhan pusat data (DC) di Malaysia dijangka terus rancak dengan Johor kekal menjadi lokasi pilihan.
Beliau berkata, Johor menjadi tumpuan pusat data di Malaysia memandangkan kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura.
Katanya, kumpulan bakat yang baik, insentif kerajaan yang mantap dan langkah ke arah tenaga hijau menjadi daya tarikan menarik untuk peserta industri memilih Malaysia bagi menubuhkan pusat data.
"Johor menjadi tumpuan pusat data di Malaysia. Namun, terdapat juga perhatian menubuhkan pusat data di Greater Kuala Lumpur.
"Kehadiran syarikat utama seperti Microsoft dan Amazon bukan saja menubuhkan pusat data tetapi membangunkan ekosistem.
"Semua pelaburan ini sudah pasti menyumbang pembangunan teknologi kepada Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Vicic berkata, pihaknya melihat terdapat potensi pelaburan berkaitan pembangunan pusat data di kawasan lain di Malaysia dalam dua hingga empat tahun akan datang.
Source: Bharian.com.my