The Light City tawar infrastruktur, hospitaliti bertaraf dunia
GEORGE TOWN: IJM Perennial Development Sdn Bhd (IJM Perennial) bersedia untuk menaik taraf projek pembangunan bersepadu utamanya, The Light City, Pulau Pinang melalui beberapa siri transformasi usaha sama yang akan memacu penawaran infrastruktur dan hospitaliti berintegrasi bertaraf dunia.
Syarikat usaha sama (JV) antara IJM Corporation Bhd (IJM) dan Perennial Holdings Private Limited itu memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak bagi pembekalan infrastruktur 5G-tersedia, perjanjian francais hotel dan perjanjian pengurusan hotel.
Bagi MoU pertama, IJM Perennial menjalin usaha sama dengan peneraju pembekal telekomunikasi terkemuka, Maxis Broadband Sdn Bhd dan GlobalComm Telecommunications Sdn Bhd bagi merintis laluan untuk pembekalan rangkaian hubungan tercanggih serta teknologi bandar pintar, yang akan mentranformasikan The Light City menjadi komuniti siap siaga masa hadapan.
Melengkapkan kecanggihan teknologi yang ditawarkan ini, IJM Perennial juga memeterai perjanjian francais hotel bersama Hyatt International - Asia Pacific untuk memperkenalkan jenama JdV by Hyatt di The Light City.
Ia menandakan kemunculan sulung JdV by Hyatt di Pulau Pinang dan Malaysia, yang menawarkan pengalaman hospitaliti yang unik.
Sementara itu, perjanjian pengurusan hotel bersama Galaxy Minyoun Hotel pula membawakan jenama hotel terkemuka dari China itu ke dalam The Light City, kemunculan sulungnya di rantau Asia Tenggara dan kehadiran antarabangsa yang kedua selepas Uzbekistan pada 2022.
Minyoun Hospitaliti Group membangun dan mengendalikan lebih 400 projek hotel merentasi lebih 60 destinasi di lapan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM, Lee Chun Fai, berkata The Light City mempamerkan visi IJM untuk mewujudkan transformasi, sebuah bandar pintar yang siap siaga untuk masa hadapan di Pulau Pinang.
"Dengan mengintegrasikan infrastruktur 5G tercanggih dan membawakan jenama hospitaliti antarabangsa premium seperti JdV by Hyatt dan Hotel Galaxy Minyoun, berserta kemudahan perniagaan runcit dan pusat konvensyen mereka, kami akan menerapkan pembangunan komuniti berdaya maju yang dihubungkan melalui rangkaian 5G.
"Projek pembangunan ini bukan sahaja akan memperkayakan warisan budaya di Pulau Pinang, malah akan menjadikannya destinasi terulung untuk perniagaan dan juga riadah.
"Dengan rekod prestasi kami yang terbukti cemerlang dalam melaksanakan projek-projek besar dan utama di Pulau Pinang, kami amat yakin untuk merealisasikan potensi The Light City sepenuhnya," katanya berucap pada majlis memeterai perjanjian itu di sini, baru-baru ini.
Majlis disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Projek The Light City terletak secara strategik di atas tanah pegangan bebas di bandar Gelugor di bahagian pantai timur Pulau Pinang.
The Light City juga terletak berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang dan hanya memerlukan pemanduan singkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta boleh diakses secara mudah melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Projek mercu tanda pembangunan campuran bersepadu seluas 4.1 juta kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4.5 bilion ini akan disiapkan melalui dua fasa.
Fasa I merangkumi pembangunan pusat beli-belah fasa pertama, The Waterfront Shoppes; pusat konvensyen terbesar di Pulau Pinang, Penang Waterfront Convention Centre; projek kediaman, Mezzo; hotel antarabangsa dan menara pejabat berkualiti tinggi.
Fasa II pula merangkumi pembangunan fasa kedua The Waterfront Shoppes, menjadikannya pasar raya terbesar di Pulau Pinang; projek kediaman, Lightwater Residences, dan pembangunan masa hadapan yang lain.
The Light City menyasar untuk menyempurnakan pembangunan Fasa I secara progresif bermula suku pertama 2025.
Source: Bharian.com.my