CPI Land bakal lancar kondominium mewah Tuan Heritag3
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, CPI Land bakal melancarkan projek kondominium mewah Tuan Heritag3, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM670 juta.
Terletak di atas tanah dengan keluasan 2.35 hektar, projek dengan status pegangan bebas di Segambut, Kuala Lumpur itu akan bertemakan kolonial dan sofistikasi moden.
Pengerusi CPI Land, Chung Shan Tat, berkata Tuan Heritag3 menyediakan akses mudah ke pengangkutan awam, terutamanya stesen KTM Segambut yang berdekatan di mana kesalinghubungan ini menjadikan perjalanan harian lebih mudah bagi penduduk.
"Pembangunan ini dilengkapi dengan kawasan penyerahan bungkusan dan makanan, kemudahan rekreasi yang komprehensif, unit separa lengkap dengan kelengkapan moden, ruang pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan ruang kerja bersama dengan WiFi percuma.
"Ia juga memberikan pengalaman hidup holistik dengan penyediaan kemudahan moden seperti perkhidmatan ulang-alik ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan kawasan membeli-belah yang terdekat," katanya kepada BH.
Beliau berkata, Tuan Heritag3 merangkumi 1,269 unit, dengan jumlah keseluruhan 2,621 petak parkir dan tiga tingkat yang berbeza iaitu tingkat bawah, tingkat 8, dan tingkat bumbung untuk memastikan penduduk dapat menikmati pemandangan bandar yang menakjubkan.
Katanya, Projek ini akan dilancarkan pada September 2024 dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2028.
Sementara itu, Shan Tat berkata, CPI Land bakal mengembangkan portfolio mereka dengan pengambilalihan dua kawasan tanah utama di Bukit Permata dan Selayang Mulia.
Pengambilalihan itu membabitkan GDV berjumlah RM1.043 bilion, di mana untuk pembangunan Bukit Permata, Batu Caves, ia akan dilancarkan pada suku pertama 2025 dengan GDV sebanyak RM557 juta.
Projek itu meliputi 8.33 hektar dan akan menampilkan campuran eksklusif rumah bungalow, rumah berkembar separuh, superlink dan kondominium tinggi.
Manakala, bagi projek Selayang Mulia, Selayang yang akan dilancarkan pada suku keempat 2025 menawarkan rumah link dua hingga tiga tingkat dengan keluasan 50.73 ekar dan GDV sebanyak RM486 juta.
"Keputusan untuk memperoleh tanah ini adalah sebahagian daripada strategi CPI Land menyasarkan kawasan pertumbuhan tinggi dan memenuhi pelbagai segmen pasaran.
"Dengan menawarkan unit baharu yang mempunyai ciri moden dan kos kemasukan rendah serta kemudahan terkini, CPI Land ingin menarik lebih ramai pembeli yang mahu menaik taraf dan membeli rumah baharu.
"Kepentingan pembangunan baharu ini memperkukuhkan trajektori pertumbuhan syarikat di mana pengambilalihan tanah strategik kami di Bukit Permata dan Selayang Mulia adalah bukti komitmen CPI Land terhadap inovasi dan visi dalam mencipta rumah yang melebihi jangkaan," katanya.
Shan Tat berkata, CPI Land juga merancang untuk meneruskan pengembangan mereka dengan meneroka peluang di Johor dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Langkah ini selaras dengan strategi syarikat untuk berkembang di luar pasaran semasa dan mewujudkan kehadiran yang kukuh di wilayah selatan Malaysia.
"Kami ingin memanfaatkan potensi pertumbuhan di Johor dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan syarikat komited terhadap pasaran di negeri itu," katanya.
Source: Bharian.com.my