Belanjawan 2025: Kerajaan dicadang bantu kurangkan kos beli rumah
KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI berharap kerajaan akan mengutamakan pembangunan perumahan baharu dan menambah baik persekitaran di kawasan perumahan mampu milik dalam Belanjawan 2025 akan datang.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Kashif Ansari berkata penambahbaikan dalam kualiti hidup merangkumi pemasangan lampu jalan baharu, membina taman-taman sukan dan mengubah suai rumah-rumah usang.
"Kami mencadangkan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos yang menyebabkan perumahan menjadi begitu mahal. Sebagai contoh, pemaju yang menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu milik sewajarnya menerima subsidi untuk bahan binaan.
"Kos-kos ini menokok sebanyak tiga hingga empat peratus setahun, ia sangat tinggi, walaupun lebih rendah berbanding semasa kemuncak pandemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembiayaan turut menjadi cabaran utama kepada projek rumah mampu milik baharu, kata Kashif, sambil mengulas jika pemaju tidak dapat memperoleh pembiayaan pada kadar yang mampan, projek perumahan baharu tidak relevan untuk diteruskan.
Beliau mencadangkan kerajaan atau bank menawarkan pembiayaan pembangunan berdiskaun, khusus yang membabitkan projek rumah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai keluarga mendapatkan kediaman.
Kashif juga mencadangkan agar pihak industri dan kerajaan bekerjasama untuk membentuk konsortium pembelian bagi mengurangkan kos bahan melalui skala ekonomi.
"Ini akan melibatkan pengumpulan permintaan merentas beberapa pemaju untuk membeli bahan dalam kuantiti yang agak besar. Ini akan membolehkan mereka merundingkan harga yang lebih baik.
"Di pasaran lain, pendekatan ini telah mengurangkan kos bahan sehingga 30 peratus," katanya.
Malaysia boleh memanfaatkan sektor pembuatan termajunya untuk membina perumahan, ini termasuk penggunaan teknik pembinaan industri bagi membina rumah-rumah dalam kilang dan kemudian memasangnya di tapak.
Kaedah itu boleh mengurangkan masa pembinaan dan kos, menjadikan perumahan lebih murah serta cepat tersedia, katanya, sambil menekankan bahawa rumah mampu milik bukan sahaja perlu menjimatkan kos tetapi juga boleh didiami, dibina dengan baik dan mampan.
Memandangkan urbanisasi mendorong lebih ramai orang ke bandar, Kashif menjangkakan permintaan rumah mampu milik akan melonjak.
Beliau berkata pada suku pertama tahun ini, urus niaga hartanah meningkat 17.2 peratus, dengan pembeli membelanjakan RM25.25 bilion untuk rumah, menandakan kenaikan 21 peratus berbanding tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, peningkatan harga tanah dan rumah termasuk kos pembinaan serta pembiayaan, terus menimbulkan cabaran besar dalam menyediakan perumahan mampu milik.
Source: Bharian.com.my