Terima 32 lot tanah untuk bina PRR
Kajang: Kerajaan mempelawa pemaju swasta menyumbang tanah untuk pembangunan bercampur termasuk membina rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang akan bermula tahun hadapan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, PRR dijenamakan semula daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyasar kediaman mampu milik lebih bersepadu dan berkualiti untuk rakyat.
"Atas usaha KPKT, kami telah menerima 32 lot tanah percuma daripada kerajaan negeri untuk kita membina PRR yang akan dimulakan tahun hadapan.
Saya juga ingin menggalakkan pemaju swasta yang sudi derma atau serah tanah kepada kerajaan untuk buat pembangunan bercampur, (dan) mereka juga diberi peluang dan keutamaan untuk membina PRR.
"Kita percaya untuk terus kekal diterima rakyat, mereka (pemaju) perlu membuat pembangunan integrasi iaitu komponen seperti kedai runcit, bank, tadika dan pelbagai infrastruktur kerana bangunan (kediaman) semata-mata bukan lagi (pilihan) popular," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Nexus Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA,
Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
Mengulas lanjut, Nga berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pelbagai agensi termasuk Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bagi membangunkan PRR.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 346,417 unit rumah mampu milik (RMM) sudah siap dibina daripada sasaran 500,000 unit yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Jadi kita sedang fokus untuk pastikan dapat mencapai hasrat murni ini supaya rakyat Malaysia dapat rumah selesa, selamat dan paling penting dengan harga mampu milik tetapi kualiti lebih baik," katanya.
Nga berkata, pihaknya juga menyasarkan jumlah transaksi sektor hartanah negara melepasi RM150 bilion menjelang penghujung tahun ini, berdasarkan pemulihan sepenuhnya sektor terbabit.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sektor itu merekod RM100.5 bilion jumlah transaksi, melepasi sasaran awal iaitu RM100 bilion.
"Melihat potensi itu, kita yakin menjelang akhir tahun ini jumlah transaksi sektor hartanah negara akan melepasi RM150 bilion," katanya.
Source: hmetro.com.my