Rumah bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual di Perak
IPOH: Situasi hartanah yang tidak terjual di Perak tidak membimbangkan kerana sebahagian besar hartanah tersebut berharga RM300,000 dan ke bawah.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Perak (Rehda Perak), Loh Ban Ho, berkata kebanyakan hartanah yang tidak terjual berada dalam julat harga berkenaan dan tidak membimbangkan kerana ia boleh diserap dengan mudah oleh pasaran, walaupun tidak terjual selama sembilan bulan selepas dilancarkan.
"Di Perak, terdapat sekitar 4,000 hartanah tidak terjual yang direkodkan pada suku pertama tahun ini. Namun, jumlah tersebut sedikit berkurangan pada separuh kedua tahun ini.
"Sebahagian besar hartanah yang tidak terjual tertumpu di tiga kawasan iaitu Manjung, Teluk Intan, dan Kinta," katanya pada sidang media Rehda Perak di sini, hari ini.
Rehda Perak menyasarkan untuk mempamerkan 5,000 hartanah bernilai RM3 bilion di Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2024.
Acara ini yang menampilkan 20 pempamer dan lebih 20 pemaju akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober di Ipoh Parade dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Timbalan Pengerusi Rehda Perak, May Ang Chan Moy, berkata hartanah yang berharga antara RM90,000 hingga RM3.34 juta setiap unit akan tersedia dari pelbagai lokasi termasuk Ipoh, Kampar, Bidor, Taiping, Seri Iskandar dan Bangsar South, Kuala Lumpur.
"Di MAPEX Perak 2024, pembeli rumah kali pertama yang membeli hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah akan layak untuk pengecualian duti setem 100 peratus yang sah sehingga 31 Disember 2025," katanya.
Selain itu, Chan Moy berkata 300 baucar bernilai RM500 setiap satu tersedia secara 'siapa cepat dia dapat' dan salah satu pemaju yang mengambil bahagian menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah sebuah kereta Honda untuk pembeli yang membeli unit kediaman semasa ekspo tersebut.
"Kami percaya MAPEX 2024 akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan industri hartanah Perak. Dengan menyediakan platform untuk inovasi, kolaborasi dan perkongsian pengetahuan, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua," katanya.
-BERNAMA
Source: Bharian.com.my