News & Articles Belanjawan 2025: Pelepasan cukai rumah pertama, RM900 juta bina 48 PPR
Belanjawan 2025: Pelepasan cukai rumah pertama, RM900 juta bina 48 PPR
21 Oct 2024
Kuala Lumpur: Kerajaan menyediakan pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 hari ini berkata, ia akan membabitkan pembelian kediaman berharga sehingga RM500,000.
"Sementara itu, pelepasan cukai sehingga RM5,000 diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.
"Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027," katanya dalam sesi pembentangan yang berlangsung di Dewan Rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Madani juga meletakkan keutamaan bagi memastikan perumahan mampu milik untuk rakyat.
"Hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.
"Sebanyak 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu," katanya.
Selain itu katanya, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) juga meluluskan RM12.8 bilion jaminan kerajaan kepada lebih 57,000 pembeli rumah pertama.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat, antaranya penghuni Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), nelayan dan Kampung Baru Cina kepada maksimum RM90,000.
"Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum RM20,000," katanya.
Di samping itu Anwar berkata, kerajaan akan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan komuniti perumahan yang lebih manusiawi.
"Rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif-lif usang dengan peruntukan hampir RM200 juta.
"Sejumlah 48 Taman Awam Madani dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta.
"Kampung Baru Cina diperuntukkan RM84 juta antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti. Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India," katanya.