PKNS lancar 12 projek hartanah bernilai RM1.5 bilion tahun depan
CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melancarkan kira-kira 12 projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion tahun hadapan, mencerminkan komitmennya untuk memajukan pasaran hartanah Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas, berkata enam projek dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2025, manakala baki enam lagi pada separuh tahun kedua.
Bagi 2024, katanya, perbadanan itu menyasarkan untuk mencapai GDV antara RM800 juta hingga RM1 bilion, mengukuhkan lagi penyertaannya dalam sektor hartanah yang kompetitif.
"PKNS berkembang dengan ketara sejak pembinaan rumah pangsa 50 hingga 60 tahun lalu. Hari ini, kami bergerak ke segmen pasaran yang lebih tinggi dan pertengahan, satu anjakan yang diperlukan untuk berdaya saing dalam industri," katanya pada program Pilih Karnival PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV), di sini, semalam.
Mahmud berkata, berikutan fokus PKNS kini untuk memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai, sebanyak tiga jenis produk perumahan dibangunkan di Cyberjaya bagi memenuhi pelbagai keperluan demografi.
Katanya, ia termasuk pangsapuri mampu milik berharga antara RM300,000 dan RM400,000 setiap satu bagi pembeli golongan muda atau isi rumah yang lebih kecil.
Sementara itu, rumah bandar Aludra Residensi yang berharga RM500,000 menawarkan fleksibiliti dengan pilihan gabungan unit yang lebih besar berharga RM1 juta, menyediakan ruang kediaman seluas 2,000 kaki persegi.
"Kami memiliki Azhara, untuk mereka yang menginginkan kediaman mewah yang direka untuk keluarga lebih besar dan menawarkan ciri yang dinaik taraf. Kami menyasarkan untuk menampung keperluan pembeli yang berbeza-beza peringkat kehidupan seperti bujang, keluarga dengan seorang anak, atau keluarga yang lebih besar," katanya.
Pilih Karnival berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan projek perbadanan itu dan mewujudkan kesedaran mengenai transformasinya dalam pembangunan hartanah.
"Karnival ini menyerlahkan bagaimana PKNS berubah menjadi pemaju perumahan pertengahan dan mewah sambil terus mengekalkan komitmennya terhadap keperluan masyarakat," kata Mahmud.
Melangkah ke hadapan, PKNS merancang untuk menumpukan usaha pembangunannya di Cyberjaya, di samping mempercepatkan projek penting lain di seluruh Selangor.
Pada tahun ini sahaja, cabang pembangunan milik kerajaan negeri itu merancang untuk melancarkan tiga lagi projek, menyerlahkan peranan aktifnya dalam memacu pembangunan bandar.
"Kami berada di landasan untuk memastikan pertumbuhan yang mampan sambil mengekalkan keuntungan. Strategi kami termasuk memanfaatkan anak syarikat untuk membina rumah berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM600,000, agar memenuhi permintaan dalam pelbagai segmen," katanya.
Pada Julai tahun ini, Mahmud dilaporkan berkata, PKNS merancang untuk meningkatkan pendapatannya, berjumlah RM2 bilion pada masa ini, sebanyak empat kali ganda menjelang 2030 melalui pertumbuhan pelbagai perniagaannya.
-BERNAMA
Source: Bharian.com.my