News & Articles Serai@SBCR: Projek perbandaran baharu Glomac, GDV RM353 juta

Serai@SBCR: Projek perbandaran baharu Glomac, GDV RM353 juta


2 Dec 2024
Serai@SBCR: Projek perbandaran baharu Glomac, GDV RM353 juta
SUNGAI BULOH: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, memperkenalkan projek hartanah perbandaran baharu, Serai@SBCR dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM353 juta.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulkifly Garib berkata, Serai adalah projek pembangunan hartanah kediaman berkonsepkan perbandaran di dalam perbandaran di atas tanah berkeluasan 64 ekar yang terletak di tengah Bandar Saujana Utama.

Beliau berkata, projek hartanah kediaman itu bakal mempunyai 374 unit kediaman yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama Serai bakal bermula tahun ini dan siap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, walaupun baharu diperkenalkan, unit kediaman Serai bagi fasa pertama katanya sudah merekodkan tempahan yang luar biasa sebanyak 90 peratus.

"Fasa Pertama Serai merangkumi 112 unit kediaman dua tingkat merangkumi 95 unit berkeluasan 20x70 dan 17 unit berkeluasan 22x70.

"Apa yang menariknya, walaupun baru diperkenalkan ia sudah mendapat tempahan yang tinggi. Ini menunjukkan Serai adalah perbandaran baharu yang menepati kehendak pembeli rumah masa kini.

"Ini kerana selain reka bentuk rumah yang moden, kediaman Serai juga dilengkapi dengan kemudahan lain terutamanya kemudahan hijau dengan tasik dan taman permainan untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

"Glomac optimis Serai akan menjadi pilihan kepada pembeli rumah yang inginkan kehijauan dan dekat dengan kawasan perbandaran yang sudah matang iaitu Bandar Saujana Utama.

"Tiga lagi fasa kediaman Serai akan bermula secara berperingkat dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh antara enam tahun hingga 10 tahun akan datang," katanya ketika taklimat media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, pasaran hartanah kediaman juga kini menunjukkan momentum pertumbuhan berbanding tempoh beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, momentum positif itu dijangka akan berterusan sehingga tahun hadapan walaupun pasaran hartanah berdepan dengan pelbagai faktor.

Selain itu katanya, lonjakan turut dilihat kepada hartanah komersial di mana tahap jualan bagi hartanah itu semakin meningkat, sekali gus menunjukkan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang positif.

"Walaupun secara dasarnya industri hartanah berdepan dengan beberapa faktor yang memungkinkan kenaikan harga jualan, tetapi ia masih menunjukkan pertumbuhan positif.

"Malah segmen hartanah komersial Glomac juga menunjukkan pemulihan dengan hampir semua hartanah jenis ini telah terjual. Permintaan juga sentiasa ada.

"Mengenai lonjakan harga jualan hartanah, masih terlalu awal untuk meramalkannya. Tidak dinafikan pelaksanaan gaji minimum baharu serta mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing memberikan tambahan kos selain harga bahan mentah yang masih tidak menentu," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat

  • SPNB to build 23,000 RMR units by 2025, exceeding 12MP target

  • Affordable housing is a stepping stone to higher-priced homes

  • Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park

  • Harmoni Madani PRR in Bestari Jaya to start early next year