News & Articles Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat

Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat


4 Dec 2024
Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat
KUALA LUMPUR: Johor menyumbang sebanyak RM753 juta atau 41 peratus daripada jumlah jualan selama sembilan bulan pertama Mah Sing Group Bhd bagi tahun 2024, berbanding hanya 21 peratus yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata jualan hartanah Mah Sing pada suku ketiga 2024 mencecah RM605 juta, berbanding RM650 juta pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, untuk tempoh sembilan bulan 2024, jualan baharu bersamaan dengan RM1.85 bilion, iaitu dalam landasan untuk mencapai RM2.5 bilion yang disasarkan pihak pengurusan Mah Sing sebelum akhir tahun ini.

"Projek-projek penting yang menyumbang pada jualan sembilan bulan 2024 bagi Mah Sing termasuk M Minori di Johor (RM337 juta), M Zenya (RM281 juta), Meridin East (RM337 juta) dan M Nova (RM134 juta) dan M Tiara yang baru sahaja dilancarkan (RM104 juta)," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mah Sing mencatat keuntungan bersih RM60.1 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM50 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagaimanapun menyusut sedikit kepada RM639.3 juta pada suku dikaji berbanding RM644.3 pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul untuk tahun ini, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM180.3 juta berbanding RM150.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya RM1.78 bilion berbanding RM1.93 bilion setahun lalu.

Prestasi kukuh ini menekankan kejayaan fokus strategik Mah Sing pada hartanah siri M, yang menyasarkan pembeli rumah kali pertama.

Mah Sing membeli empat plot tanah utama pada tahun 2024, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) terkumpul sebanyak RM5.12 bilion.

Ini termasuk M Aurora di Jalan Klang Lama dengan potensi GDV RM660 juta dan MSS Business Park di Sepang.

Sementara itu, Kok Wen berkata keputusan suku ketiga 2024 yang dicatatkan Mah Sing berjaya menepati jangkaan, dan ia berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi sasaran jualan bernilai RM2.5 bilion.

Katanya, hal ini kerana jualan hartanah untuk tempoh sembilan bulan 2024 sudahpun mencecah RM1.85 bilion dengan 41 peratus daripada angka terbabit disumbang oleh projek-projek di Johor.

"Menurut laporan berita baru-baru ini, Chindata Group telah membuat pinjaman kewangan AS$2.8 bilion untuk membiayai pelan pengembangan operasinya di Malaysia dan premis cawangannya di Malaysia berkemungkinan akan digunakan oleh ByteDance.

"Hal ini sepatutnya membantu meyakinkan pelabur bahawa usaha sama ini boleh mendapatkan senarai pembeli yang mencukupi," katanya.

Beliau menambah, pihak pengurusan Mah Sing juga masih mengadakan perbincangan dengan rakan kongsinya, Bridge Data Centre, dan perjanjian usaha sama itu sepatutnya dapat dimuktamadkan sebelum bulan Mei tahun depan.

Katanya, kedua-dua pihak juga akan memutuskan senarai pembeli yang berminat pada masa yang sama.

"Untuk bahagian sarung tangan pula, tempahan jualan dijangka akan semakin meningkat menuju ke

2025 memandangkan pelaksanaan kadar tarif 50 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan import dari China seharusnya menguntungkan pihak Mah Sing kerana 93 peratus barangannya dieksportkan ke AS," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Projek hartanah Mah Sing di Johor dapat sambutan hebat

  • SPNB to build 23,000 RMR units by 2025, exceeding 12MP target

  • Affordable housing is a stepping stone to higher-priced homes

  • Sime Darby Property bina pusat data tambahan di Elmina Business Park

  • Harmoni Madani PRR in Bestari Jaya to start early next year