News & Articles Harga rumah bertanah Lembah Klang dijangka naik hingga empat peratus

Harga rumah bertanah Lembah Klang dijangka naik hingga empat peratus


9 Jan 2025
Harga rumah bertanah Lembah Klang dijangka naik hingga empat peratus
KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap rumah kediaman bertanah di kawasan utama Lembah Klang akan kekal kukuh walaupun harga jualannya dijangka meningkat tiga hingga empat peratus tahun ini.

Pengarah Bersekutu Penyelidikan dan Perundingan CBRE WTW, Mary Kurien, berkata permintaan jualan itu khususnya di kawasan pembangunan matang bandar seperti Petaling Jaya, Bangsar, Ampang dan Taman Tun Dr Ismail.

"Walaupun harga jualan dijangka meningkat, tetapi permintaan masih ada dan pembeli akan tetap memilih kediaman bertanah di kawasan terbabit.

"Ini kerana jualan kediaman bertanah di kawasan utama pembangunan matang adalah terhad. Peningkatan harga tidak akan menjejaskan permintaan," katanya selepas taklimat media Unjuran Pasaran Hartanah CBRE WTW di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kurien berkata, lonjakan harga jualan rumah kediaman bertanah di Lembah Klang itu adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu sekitar dua hingga tiga peratus.

Beliau berkata, hal ini kerana tahun 2023 dan 2024 masih dalam fasa pemulihan hartanah dan lonjakan sebenar akan dilihat pada tahun ini.


Selain itu, menurutnya permintaan terhadap kediaman bertanah juga disebabkan banyak pemaju hartanah ketika ini mengawal atau mengurangkan pelancaran hartanah bertingkat.

"Untuk mendapatkan hartanah bertanahdi Petaling Jaya dan Bangsar ketika ini adalah terhad kerana tumpuan hartanah kediaman beralih ke pinggir Kuala Lumpur seperti Sepang, Puncak Alam dan Semenyih.

"Malah, kos juga semakin meningkat dengan kenaikan kos bahan mentah serta operasi turut menjadi faktor kepada lonjakan harga ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan CBRE WTW, Tan Ka Leong, berkata pasaran hartanah Lembah Klang dijangka terus berkembang, dipacu oleh kemajuan dalam segmen industri, runcit dan hospitaliti.

Beliau berkata, taman perindustrian kini berkembang ke arah industri berteknologi tinggi, mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan pensijilan hijau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Permintaan untuk penyelesaian berasaskan AI, perkhidmatan awan dan pembangunan pusat data terus mendorong momentum ini.

"Begitu juga, sektor runcit dan hotel dijangka mendapat manfaat daripada industri pelancongan yang rancak, sekali gus memperkukuh ketahanan pasaran Lembah Klang," katanya.

Mengenai unjuran pasaran hartanah pada 2025, Ka Leong berkata, ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan ketahanan pada tahun ini.

Beliau berkata, ia akan mengekalkan pertumbuhan yang stabil walaupun menghadapi ketidaktentuan global, dipacu oleh dasar yang berpandangan jauh dan projek infrastruktur transformasi, pasaran hartanah bersedia untuk evolusi dinamik, menawarkan peluang pelaburan serta pembangunan baharu.

Menurutnya, projek infrastruktur mega termasuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Lebuhraya Pan Borneo, sedang merubah kesalinghubungan bandar dan integrasi serantau.

Justeru, katanya inisiatif lestari bersama usaha penambahbaikan bandar,menjanjikan nilai jangka panjang untuk pelabur serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Pemacu utama transformasi pasaran hartanah pada 2025 ialah penerapan teknologi industri maju yang meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

"Segmen industri dan hotel dijangka menjadi antara yang paling menyerlah. Peningkatan pelaburan dalam aset industri menonjolkan permintaan yang semakin meningkat.

"Manakala, peranan Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dijangka merancakkan permintaan hotel melalui delegasi antarabangsa, acara sidang kemuncak dan kemasukan pelancong perniagaan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Strong tourism growth anticipated in Langkawi

  • Bali Escape Kuala Lumpur dibuka suku keempat 2025

  • 76,664 housing credit guarantee applications worth RM17.86bil approved since 2008

  • Pelaburan hartanah komersial Malaysia meningkat

  • Knight Frank: Malaysia's commercial property transactions rising, mirroring global trend