News & Articles Permintaan rumah mampu milik RM300,000 hingga RM500,000 meningkat

Permintaan rumah mampu milik RM300,000 hingga RM500,000 meningkat


14 Jan 2025
Permintaan rumah mampu milik RM300,000 hingga RM500,000 meningkat
KUALA LUMPUR: Titijaya Land Bhd (Titijaya) melihat peningkatan permintaan terhadap projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan hartanah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.

Permintaan itu adalah respons kepada kebimbangan mengenai inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit, berkata pembeli kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, berikutan kebimbangan mengenai kenaikan inflasi, rasionalisasi subsidi dan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada 2025.

"Hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM700,000 yang dahulunya menjadi pilihan kini beralih kepada unit sekitar RM300,000 dan menjelang tahun ini kami melihat permintaan terhadap projek TOD semakin meningkat, terutama dalam kalangan generasi muda pekerja bandar.

"Projek TOD yang direka dengan baik menawarkan gabungan pengalaman kehidupan dan pekerjaan bandar yang popular di bandar utama seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura.

"Kami juga melihat gelombang pembangunan infrastruktur pengangkutan awam seperti Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa Kedua, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Laluan Lingkaran MRT3, LRT3 dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura turut memberikan dorongan kepada segmen TOD," katanya dalam satu kenyataan.


Poh Yit berkata, konsep TOD juga seiring dengan komitmen syarikat terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam portfolio pembangunan.

"Dengan menumpukan pejabat, runcit dan kediaman dalam kawasan berhampiran stesen transit, projek TOD meningkatkan tarikan dan kecekapan pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mempromosikan perjalanan yang lebih singkat seterusnya meningkatkan produktiviti serta mengurangkan jejak karbon.

"Menjangka trend ini, pada 2019 kami melancarkan Riveria City, pembangunan TOD utama di KL Sentral di mana fasa pertama Riveria City, The Riv telah siap sepenuhnya dan terjual. Kini, kami melancarkan fasa kedua, The Ria, untuk memenuhi permintaan projek TOD yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, Riveria City adalah pembangunan bernilai RM1.5 bilion dengan jarak hanya 100 meter dari stesen monorel Tun Sambanthan serta berhampiran hab pengangkutan KL Sentral.

Katanya, projek yang dibangunkan bersama Titijaya dan Prasarana Integrated Development Sdn Bhd, Riveria City bakal menjadi mercu tanda pembangunan bersepadu yang menggabungkan ruang runcit tepi sungai, pejabat moden, dan apartmen servis mewah.

"Fasa pertama, The Riv, adalah menara setinggi 54 tingkat serta 784 suite pejabat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM374 juta telah siap dan habis dijual sepenuhnya manakala fasa kedua Riveria City, The Ria yang dilancarkan pada Julai 2024 dengan GDV sebanyak RM588 juta dijangka siap pada suku pertama 2028.

"Projek setinggi 63 tingkat itu menawarkan 752 unit dengan konfigurasi dua hingga tiga bilik tidur berkeluasan 650 hingga 800 kaki persegi dan harga bermula RM685,000 ke atas," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Strong tourism growth anticipated in Langkawi

  • Bali Escape Kuala Lumpur dibuka suku keempat 2025

  • 76,664 housing credit guarantee applications worth RM17.86bil approved since 2008

  • Pelaburan hartanah komersial Malaysia meningkat

  • Knight Frank: Malaysia's commercial property transactions rising, mirroring global trend