News & Articles Gaji meningkat, kadar faedah pinjaman rendah rangsang sektor hartanah

Gaji meningkat, kadar faedah pinjaman rendah rangsang sektor hartanah


15 Jan 2025
Gaji meningkat, kadar faedah pinjaman rendah rangsang sektor hartanah
KUALA LUMPUR: Peningkatan gaji penjawat awam, pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil pada 3.0 peratus dan kadar faedah pinjaman yang rendah di Malaysia akan memberikan impak positif kepada sektor hartanah tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank (HLIB), Lee Jim Leng, berkata ini menjadikan pemilikan hartanah lebih mampu milik bagi mereka yang ingin melabur dalam masa terdekat, memandangkan faktor kemampuan membeli dalam kalangan pembeli rumah masih menjadi isu utama.

"Pandangan optimis terhadap sektor ini turut disokong oleh inisiatif kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2025. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk pembeli rumah kali pertama.

"Kadar pertumbuhan pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan pada 4.9 peratus untuk tahun ini (menurut unjuran HLIB) dan ekonomi kekal kukuh menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan berterusan dalam sektor hartanah," katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas Forum Bursa Malaysia-HLIB Stratum Series bertajuk'Sektor Hartanah: Memasuki Kitaran Baharu?' di sini, hari ini.

Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), nilai transaksi hartanah Malaysia melonjak kepada RM105.65 bilion dalam separuh pertama 2024.


Ini mencatatkan pertumbuhan mengagumkan sebanyak 23.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, Indeks Hartanah Kuala Lumpur dijangka meningkat sebanyak 31.17 peratus pada 2024, manakala isu lambakan rumah tidak terjual juga semakin baik dengan pengurangan sebanyak 12.3 peratus.

Mengulas lanjut, Jim Leng berkata, di sebalik pandangan optimis ini, cabaran tetap wujud dalam sektor hartanah.

Beliau berkata, isu kemampuan membeli, tekanan inflasi dan ketidaktentuan global masih memerlukan perhatian semua pihak.

Katanya, pasaran hartanah sering digunakan sebagai penanda aras kestabilan ekonomi sesebuah negara kerana ia mencerminkan kuasa beli, kadar inflasi, dan kadar urbanisasi sesebuah negara.

Menurutnya, di Amerika Syarikat (AS), ahli ekonomi menggunakan Indeks Harga Rumah S&P CoreLogic Case-Shiller untuk menilai trend harga rumah di bandar utama, yang kemudiannya digunakan untuk mengukur kesihatan pasaran hartanah negara itu.

"Pasaran hartanah juga merupakan tunjang penting dalam ekonomi global. Ini terbukti dengan jelas semasa Krisis Kewangan 2008, apabila gelembung pasaran perumahan di AS pecah, menyebabkan kejatuhan mendadak harga rumah, peningkatan penyitaan hartanah dan krisis kewangan global.

"Oleh itu, sektor hartanah bukan hanya mengenai membina rumah, ia turut menjadi asas kepada ekonomi yang rancak, merangsang pembangunan bandar dan pertumbuhan ekonomi yang pesat," katanya.

Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia, Amy Wong, juga berpandangan bahawa pasaran hartanah Malaysia kekal berdaya tahan dan bersedia untuk pertumbuhan jangka panjang pada 2025.

"Daya tahan itu disebabkan lokasi strategik Malaysia, kepelbagaian budaya dan dasar kerajaan yang menyokong akan terus menarik minat pelabur serta pemilik rumah," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • February Auction Carnival 2025: Bigger, Bolder, and Better Deals Than Ever!

  • Nilai transaksi hartanah naik mendadak kepada RM217.46 bilion tahun lalu

  • Compugates to jointly develop Cyberjaya land into RM1.36 bil GDV project

  • Mall operators put their faith in fresh strategies

  • Pasaran pejabat catat pertumbuhan, fokus kepada ruang premium, ESG