TH Properties, Affin Bank tawar pembiayaan komprehensif kepada pembeli muda
KUALA LUMPUR: TH Properties bekerjasama dengan Affin Bank Bhd melancarkan penyelesaian pembiayaan yang direka bagi merapatkan jurang pemilikan rumah, khususnya untuk graduan baharu, pembeli rumah muda dan pelabur hartanah.
Di bawah kerjasama strategik itu, TH Properties dan Affin Bank menawarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan fleksibel yang disesuaikan dengan keperluan pelbagai segmen pembeli, termasuk mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
Ia termasuk program AFFIN Home Step Fast/-i untuk graduan baharu, pembeli rumah pertama, pembeli muda dan pelabur hartanah.
Penyelesaian pembiayaan patuh syariah itu menawarkan struktur pembiayaan yang fleksibel dan kompetitif, membolehkan pembeli rumah mendapatkan rumah impian dengan kos pendahuluan yang lebih rendah dan bayaran bulanan yang boleh diurus.
Satu lagi program di bawah perjanjian terbabit ialah Affinita Home Financing Program, yang memenuhi keperluan wanita yang mencari kebebasan kewangan melalui pemilikan rumah.
Ciri menonjol program terbabit memberi kuasa kepada pembeli rumah wanita dengan menawarkan pembiayaan melebihi RM500,000 melalui AFFIN INVIKTA Premier Banking, serta diskaun eksklusif dan faedah daripada hampir 100 peniaga termasuk spa, restoran, dan butik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Mohd Ismadi Ishak, berkata kerjasama strategik itu mencerminkan visi bersama kedua-dua organisasi untuk menangani cabaran kemampuan perumahan sambil menyediakan laluan mudah bagi rakyat Malaysia memiliki rumah.
"Di TH Properties, kami berusaha menjadikan pemilikan rumah sebagai realiti untuk rakyat Malaysia dengan menawarkan rumah yang sesuai dengan gaya hidup mereka dan visi jangka panjang.
"Kerjasama dengan Affin Bank melangkaui penyediaan penyelesaian kewangan—ia mencerminkan komitmen bersama kami untuk menangani cabaran yang dihadapi, khususnya bagi pembeli rumah pertama dan golongan profesional muda.
"Dengan memperkenalkan pilihan pembiayaan yang inovatif dan fleksibel, kami berharap dapat memberi kuasa kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melabur dalam rumah yang sesuai dengan aspirasi mereka dan menjamin masa depan mereka," katanya ketika majlis pemeteraian perjanjian antara TH Properties dan Affin Bank di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank, Mohammad Fairuz Mohd Radi, berkata, kerjasama dengan TH Properties dapat memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman.
"Dengan penyelesaian pembiayaan inovatif seperti AFFIN Home Step Fast/-i dan Affinita Home Financing Program, kami dapat menyediakan pilihan yang fleksibel dan disesuaikan untuk golongan profesional muda, pelabur hartanah, serta pelbagai segmen pembeli rumah.
"Affinita Home Financing Program bukan sahaja menawarkan sokongan kewangan—ia juga menggalakkan kebebasan, kestabilan dan memperkasakan wanita.
"Dengan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan dan manfaat eksklusif, Affin Bank dapat menjadikan perjalanan pemilikan rumah lancar, membolehkan wanita menjamin masa depan mereka dengan keyakinan dan ketenangan fikiran," katanya.
Peringkat awal kerjasama TH Properties dan AFFIN BANK akan membabitkan hartanah di projek pembangunan utama termasuk Kota Semarak, sebelum diperluaskan ke dua projek lain, iaitu Bandar Enstek dan Warisan Puteri 2.
Projek berkenaan menawarkan pelbagai pilihan rumah yang disesuaikan dengan keperluan pemilik rumah moden sambil menyediakan peluang pelaburan hartanah yang melengkapkan gaya hidup mereka dan membina nilai jangka panjang.
Source: Bharian.com.my