News & Articles Pasaran hartanah dijangka catat rekod tertinggi sejak 2011

Pasaran hartanah dijangka catat rekod tertinggi sejak 2011


21 Feb 2025
Pasaran hartanah dijangka catat rekod tertinggi sejak 2011
KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan transaksi positif tahun ini, dengan potensi menyamai rekod tertinggi yang direkodkan pada 2011/2012 apabila melebihi 400,000 transaksi.

Pengarah Penyelidik Rahim & Co International, Sr Sulaiman Saheh, berkata momentum pasaran hartanah setakat sembilan bulan pertama 2024 menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan 311,211 transaksi bernilai RM162.96 bilion direkodkan, melebihi jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2011/2012.

"Melihat kepada trend semasa, kami menjangkakan jumlah transaksi melepasi 400,000 pada tahun ini. Walaupun ada pandangan bahawa 2024 bakal menjadi tahun mencabar bagi sektor hartanah, data semasa menunjukkan sebaliknya. Saya yakin prestasi pasaran akan kekal positif menjelang pengumuman penuh bagi tahun ini," katanya kepada BH selepas taklimat Pasaran Hartanah 2024/2025 Rahim & Co, semalam.

Setakat tiga suku pertama 2024, pasaran hartanah tempatan mencatatkan peningkatan 6.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2023, dengan nilai transaksi keseluruhan sebanyak RM162.96 bilion.

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam beberapa sektor utama, termasuk sektor kediaman yang berkembang 4.9 peratus, sektor komersial meningkat 16.6 peratus dan sektor perindustrian naik 6.5 peratus. Dari segi lokasi, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor antara negeri yang mencatatkan pertumbuhan transaksi positif sepanjang sembilan bulan pertama 2024.

Mengulas prospek pasaran bagi 2025, Sulaiman berkata momentum positif dijangka berterusan, namun dengan kadar pertumbuhan yang lebih sederhana.

"Pasaran dijangka kekal stabil dengan perkembangan lebih terkawal pada 2025. Permintaan terhadap pembangunan kediaman, khususnya projek berorientasikan transit (TOD), dijangka terus kukuh, dipacu oleh pemilik-penyewa yang mementingkan aksesibiliti dan keterhubungan," katanya.

Dalam sektor perindustrian, pertumbuhan dijangka sejajar dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya bagi hartanah industri berasaskan teknologi yang menekankan aspek kelestarian ESG serta infrastruktur yang mantap.

Bagi sektor komersial, meskipun berdepan cabaran akibat peningkatan bekalan pejabat dan ruang runcit, pasaran menyaksikan peralihan ke arah konsep 'flight-to-green' dan 'flight-to-quality' yang membuka peluang baharu dalam segmen ini.

Sulaiman turut menegaskan bahawa bagi memastikan pasaran hartanah lebih seimbang dan mampan, cabaran yang masih berlarutan perlu ditangani secara berhemah, dengan menumpukan kepada pembangunan yang inklusif dan dinamik.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sime Darby Property sees strong growth in high-rise segment

  • Lokasi strategik Alfa Bangsar tarik minat penyewa, pengunjung

  • Belfield Tunnel opens, providing easy entry and exit to Menara Merdeka 118

  • Jualan hartanah baharu Matrix Concepts meningkat kepada RM354.3 juta

  • Rehda more upbeat about property market following Napic's latest report