Paramount rancang pelancaran projek bernilai RM1.4 bilion tahun ini
KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd bercadang untuk melancarkan projek bernilai RM1.4 bilion tahun ini, yang tertumpu kepada pembangunan perumahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew Sun Teong, berkata keutamaan adalah untuk penyempurnaan projek terdahulu bagi mengiktiraf hasil daripada jualan belum dibil berjumlah RM1.6 bilion.
"Walaupun mencatatkan pertumbuhan jualan stabil hasil pelancaran tahun lalu, kami mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengurangkan kadar pelancaran baharu.
"Pada masa yang sama, pengurusan aliran tunai menjadi fokus utama, dengan memilih untuk mengekalkan fleksibiliti kewangan daripada melunaskan hutang bank secara agresif manakala keputusan mengenai pembayaran dividen masih dalam perbincangan," katanya semasa membentangkan keputusan tahun kewangan Paramount di sini, hari ini.
Sun Teong berkata, dalam aspek pemerolehan tanah, syarikat telah membeli tanah bernilai RM45 juta tahun lalu dan masih dalam rundingan untuk beberapa pembelian baharu.
"Prestasi jualan 2024 yang melebihi jangkaan mendorong syarikat memberi tumpuan terhadap penambahan tanah, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berbaki RM5.5 bilion.
"Dengan sasaran pendapatan RM1.2 bilion tahun ini, penambahan tanah diperlukan bagi memastikan kesinambungan projek dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata, tahun ini, syarikat menyasar untuk melengkapkan GDV sebanyak RM2 bilion, yang memerlukan pemerolehan tanah bernilai RM400 juta.
"Tanah yang dibeli akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun dan bukan disimpan untuk kenaikan nilai jangka panjang.
"Kami menjangkakan hampir RM1 bilion aliran tunai masuk. Dengan jumlah itu dan pembiayaan bank sehingga 80 peratus, syarikat berpotensi memperoleh tanah bernilai sehingga RM5 bilion.
"Keputusan strategik masih dibincangkan, termasuk keutamaan terhadap pembayaran dividen, pembelian tanah, pembayaran hutang, atau pelaburan lain," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pelaburan dalam Eco World International Bhd turut dalam pertimbangan, dengan keputusan dijangka dimuktamadkan selepas perbincangan lembaga pengarah menjelang pertengahan tahun ini.
Source: Bharian.com.my