Pelaburan hartanah komersial Malaysia meningkat
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan peningkatan transaksi hartanah komersial, didorong oleh individu bernilai bersih tinggi (HNWI) dan pelabur institusi yang mencari nilai jangka panjang, sejajar dengan trend global, menurut Knight Frank Malaysia.
Firma itu dalam kenyataan sempena penerbitan utama, Wealth Report 2024, memaklumkan peningkatan ini selari dengan pertambahan jumlah individu HNWI di Malaysia, mencerminkan pertumbuhan kekayaan dan minat pelaburan yang semakin kukuh.
Pada peringkat global, pelaburan dalam hartanah komersial melonjak kepada AS$806 bilion pada 2024, meningkat lapan peratus tahun ke tahun selepas penyusutan ketara 43 peratus pada 2023, menandakan pemulihan keyakinan pelabur.
Aliran modal rentas sempadan turut meningkat 12 peratus kepada AS$171 bilion, memperlihatkan daya tarikan berterusan terhadap pelaburan hartanah di seluruh dunia. Modal swasta kekal sebagai pemacu utama pasaran, dengan pelabur institusi membelanjakan AS$268 bilion, merangkumi 33 peratus daripada jumlah pelaburan, manakala pelabur pasaran awam mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 22 peratus.
"Di Malaysia, pelabur swasta aktif dalam sektor pejabat dan perindustrian, memanfaatkan permintaan tinggi terhadap aset berkualiti," kata firma itu.
Sektor perindustrian mendahului pelaburan global dengan nilai AS$216 bilion, diikuti sektor kediaman (AS$205 bilion) dan pejabat (AS$173 bilion), menandakan pemulihan keyakinan terhadap aset tempat kerja.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi, berkata pasaran hartanah komersial tempatan terus berkembang dengan minat tinggi terhadap aset pejabat utama dan logistik.
"Memandangkan ekonomi yang stabil dan kos pembiayaan yang semakin berkurangan, gelombang pemerolehan strategik dijangka berlaku, khususnya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru," katanya.
Knight Frank Malaysia turut melaporkan bahawa bilangan HNWI global meningkat 4.4 peratus kepada 2.34 juta individu, dengan Amerika Utara mendahului pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus, diikuti Asia (5.0 peratus), Afrika (4.7 peratus) dan Australasia (3.9 peratus).
Malaysia turut menerima manfaat daripada pertumbuhan ini, dengan peningkatan individu ultra-kaya yang semakin mempelbagaikan pelaburan dalam sektor hartanah.
"Negara ini kekal sebagai destinasi pelaburan hartanah bernilai tinggi, khususnya dalam segmen kediaman mewah dan komersial utama," menurut firma itu.
Minat pelabur antarabangsa terhadap sektor pejabat utama dan hospitaliti di Kuala Lumpur turut kekal kukuh, dengan kumpulan modal besar bersedia untuk dimanfaatkan, meletakkan 2025 sebagai tahun penting bagi pasaran hartanah negara.
Sebagai peserta utama dalam landskap pelaburan Asia Tenggara, Malaysia dijangka terus menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan hartanah pilihan.
Source: Bharian.com.my